DiCaprio nafi biaya kumpulan dituduh sengaja bakar Amazon


Leonardo DiCaprio antara bintang Hollywood yang lantang bersuara mengecam kegagalan kerajaan Brazil mengekang kebakaran hutan Amazon yang boleh menjejaskan dunia. – Gambar EPA, 1 Disember, 2019.

LEONARDO DiCaprio semalam menafikan tuduhan Presiden Brazil Jair Bolsonaro yang beliau membantu membiayai kumpulan yang dikaitkan dengan kebakaran hutan Amazon.

“Walaupun berbaloi untuk disokong,” kata DiCaprio,45, dalam satu kenyataan di Instagramnya, “kami tidak membiayai organisasi yang kini jadi sasaran”.

Dalam siaran langsung mingguan pada Khamis, Bolsonaro menuduh bintang Hollywood itu “bersubahat dalam kebakaran di Amazon” dengan menderma AS$500,000 (RM2 juta) kepada sebuah kumpulan yang dituduhnya memulakan kebakaran di hutan itu untuk menarik derma.

Tanpa memberikan bukti, Bolsonaro berkata DiCaprio mendermakan AS$500,000 kepada “mereka yang memulakan kebakaran”.

Presiden haluan kanan itu mengulangi tuduhannya sekali lagi pada Jumaat.

DiCaprio, bintang filem yang juga dikenali kerana perjuangan alam sekitarnya, berkata “masa depan ekosistem tiada galang ganti itu sedang terancam, dan saya bangga berdiri bersama-sama kumpulan yang melindunginya.”

Beliau juga memuji mereka di Brazil yang bekerja “untuk menyelamatkan warisan semulajadi dan budaya mereka.”

Sejak tahun lepas, anggota bomba sukarela Alter do Chao membantu anggota bomba pihak berkuasa untuk memadamkan kebakaran hutan di Para, termasuk yang terbaru di kawasan Alter do Chao yang memusnahkan kawasan seluas 1,600 saiz padang bola sepak.

Tetapi, polis tempatan berkata sebilangan ahli dikaitkan dengan kumpulan itu memulakan kebakaran untuk meraih perhatian dan derma antarabangsa.

Empat ahli kumpulan itu ditahan Selasa lalu dan dibebaskan dua hari kemudian.

Penyiasat berkata sukarelawan itu memulakan kebakaran untuk menjual gambarnya kepada Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) untuk digunakan dalam kempen derma antarabangsa- termasuk diberikan DiCaprio.

WWF Brazil menafikan tuduhan itu, berkata ia hanya memindahkan sekitar AS$16,800 bagi peralatan memadam kebakaran kumpulan itu.

Bolsonaro, pro penerokaan komersial Amazon menyalahkan kumpulan masyarakat sivil kerana kebakaran pada Ogos lalu yang memusnahkan sebahagian besar hutan Amazon.

Kebakaran itu mencetuskan kecaman dunia terhadap dasar Bolsonaro terhadap Amazon.

Pegawai Alter do Chao juga menafikan tuduhan itu, menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Amnesty International dan Greepeace menuduh kerajaan melonggarkan penguatkuasaan hutan Amazon, dan menerusi retorik kerajaan menggalakkan penebangan hutan secara haram. – AFP, 1 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen