Khalid Samad tak perlu campur tangan jual beli tanah Kampung Sg Baru, kata penduduk


Alfian Z.M. Tahir

Khalid Samad tiada hak untuk campur tangan dalam urusan jual beli tanah kerana beliau bukan lagi seorang menteri, kata Ketua Badan Bertindak Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru Mohd Adam Abdul Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2023.

KUMPULAN penduduk tidak senang dengan tindakan bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad yang campur tangan dalam urusan jual beli tanah antara pemaju Kampung Baru dan penduduknya.

Ketua Badan Bertindak Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru Mohd Adam Abdul Aziz berkata Khalid tiada hak untuk campur tangan dalam isu itu kerana beliau bukan lagi seorang menteri.

Adam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khalid yang berkata penduduk di kawasan itu tidak akan diusir dari rumah mereka meskipun menerima notis pengusiran daripada pemaju.

Khalid menegaskan penduduk tidak akan diusir sehingga perbincangan lanjut mengenai pampasan diadakan dan rundingan akan meliputi nilai semasa tanah serta penempatan seterusnya penduduk sekiranya mereka bersetuju untuk menjual rumah mereka.

Adam mengecam Khalid kerana bertindak bagi pihak beberapa penduduk sambil berkata beberapa laporan polis dibuat terhadap pemimpin Amanah itu.

“Kami membuat beberapa laporan terhadapnya pada Jumaat lalu dan saya fikir sehingga kini, terdapat lebih daripada 10 laporan polis dibuat. Beliau tidak sepatutnya mencampuri perkara ini lagi.”

“Beliau tidak tahu cerita penuh dan beliau tidak ada butiran penuh. Kami juga sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman.”

“Semua orang sudah dibayar (pampasan) oleh pemaju. Pemilik flat diberi pampasan pada Mei 2022 manakala pemilik rumah teres diberi pampasan pada Januari 2023.

“Malah Lele Suzanna, jurucakap Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru sudah menerima bahagiannya. Mengapa mereka masih bising dalam isu ini,” kata Adam ketika dihubungi.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Khalid untuk mendapatkan maklum balas namun pengarah komunikasi Amanah itu gagal dihubungi.

Sementara itu, menurut Adam, tanah itu kini dimiliki oleh pejabat Tanah dan Galian.

Adam mengulas laporan awal yang memetik Lele sebagai berkata pemaju baru menawarkan pampasan lebih tinggi kepada penduduk.

Menurut Adam, pemilik rumah diberi tiga pilihan sebelum menjual rumah mereka.

“Pilihan pertama ialah mereka mengambil wang dan keluar, pilihan kedua, mereka menerima wang itu tetapi dengan bantahan. Ini bermakna mereka boleh membawa perkara ini ke mahkamah, namun tanah itu bukan lagi milik mereka kerana mereka menerima wang tersebut. Ketiga, mereka membantahnya sama sekali tanpa mengambil satu sen pun.”

“Mereka semua mengambil pilihan kedua. Ambil wang dengan bantahan. Jadi apa lagi yang mereka mahu,” soal Adam. – 5 November, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen