Penduduk Kampung Sg Baru kekal buat masa ini


Alfian Z.M. Tahir

Terdapat sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur enggan berpindah kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang ditawarkan pemaju. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 November, 2023.

PENDUDUK Kampung Sungai Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak akan diusir dari rumah mereka sehingga perbincangan lanjut diadakan berhubung pampasan, kata Khalid Samad dari Amanah.

Khalid, bekas menteri Wilayah Persekutuan, yang membela penduduk sejak 2020, berkata beliau telah dimaklumkan walaupun ada notis pemindahan, penduduk tidak akan dipaksa meninggalkan rumah mereka.

Difahamkan, rundingan itu akan melibatkan pampasan yang merangkumi nilai semasa tanah serta penempatan seterusnya sekiranya mereka semua bersetuju untuk menjual.

“Notis pada 5 Oktober menyatakan penduduk perlu keluar pada 19 Oktober dan kemudian mereka diberikan satu lagi notis untuk keluar selewat-lewatnya pada 29 Oktober.

“Bagaimanapun, saya telah diberi jaminan mereka tidak akan dipaksa keluar sehingga rundingan dilakukan. Bila dan di mana rundingan itu, akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Pada 4 Februari, lebih 260 penduduk Kampung Sungai Baru menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta campur tangan beliau untuk menangguhkan projek pembangunan semula di kawasan itu.

Perancangan pembangunan semula Kampung Sungai Baru bermula pada 2016 dan mendapat persetujuan 260 penduduk kampung, namun projek itu tidak dapat diteruskan kerana 37 penduduk membantahnya.

Sebelum ini, penduduk pernah cuba menarik perhatian Ismail Sabri Yaakob ketika ahli Parlimen Bera itu menjadi perdana menteri.

Notis pemberitahuan untuk mengosongkan tapak dikeluarkan oleh pemaju kepada penduduk yang terlibat di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 November, 2023.

Pada April, The Malaysian Insight melaporkan isi rumah di flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru enggan berpindah walaupun selepas notis pengusiran berikutan pengambilalihan tanah oleh pemaju.

Mereka yang menolak perintah itu berkata mereka akan terus berjuang untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi daripada RM250,000 yang ditawarkan setiap isi rumah di lokasi utama bernilai tinggi berhadapan dengan Menara Berkembar Petronas.

Kampung rizab Melayu terakhir di tengah-tengah bandar, Kampung Baru adalah ikonik dan disayangi oleh penduduk dan pemuliharaan warisan yang ingin mengekalkan kepentingan budaya dan sejarah kawasan itu.

Rancangan untuk pembangunan semulanya telah menjadi kontroversi, melibatkan pertikaian mengenai jumlah pampasan daripada pemaju dan estetika projek baharu yang mengubah rupa dan suasana Melayu tradisional kawasan itu.

Rumah pangsa PKNS yang terletak berhampiran Jambatan Saloma itu mempunyai lapan blok 264 unit kediaman dan terletak di atas tanah seluas 1.4 hektar.

Antara rumah flat di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang sudah dikosongkan penduduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 November, 2023.

Isu pengambilan tanah di kawasan itu bermula pada 2016 apabila pemaju Ritzy Gloss Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Suez Capital Sdn Bhd membuat tawaran untuk membangunkan kawasan itu melalui usaha sama dengan penduduk. Ini bertujuan untuk memberi pendapat kepada penduduk dalam penempatan semula dan rancangan pembangunan mereka.

Pelan pembangunan kawasan itu termasuk penempatan semula semua penduduk rumah pangsa dan rumah teres di blok pangsapuri baharu yang dijanjikan bernilai tinggi. Kondominium mewah, pejabat dan ruang runcit akan dibina di atas tanah yang akan diambil alih.

Ritzy Gloss berkata pangsapuri baharu di mana pemilik flat akan ditempatkan semula adalah antara 900 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi dan bernilai antara RM850,000 dan RM1.2 juta.

Walaupun dijanjikan hartanah bernilai tinggi, 38 pemilik unit flat dan 71 lagi pemilik rumah teres enggan menerima perjanjian itu kerana pemaju gagal memberikan dokumen rasmi untuk menyokong tuntutannya.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight sebelum ini, penduduk berkata mereka hanya akan berpindah jika menerima pampasan yang munasabah daripada pemaju.

Mereka juga mendakwa usaha mereka untuk menghubungi pemaju untuk rundingan ditolak. – 1 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen