Jangan salahkan pemandu LRT sahaja, kata bekas CEO Prasarana


Keesokan hari, selepas nahas LRT itu para pengguna dilihat kembali menggunakan sistem perkhidmatan awam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Mei, 2021.

PASUKAN petugas yang menyiasat kemalangan tren transit aliran ringan (LRT) pada Isnin wajib melihat apa yang berlaku di pusat kawalan perkhidmatan dan tidak boleh menyalahkan pemandu semata-mata, kata bekas ketua pegawai eksekutif Prasarana Malaysia Bhd.

Ridza Abdoh Salleh berkata, walaupun jelas kemalangan itu disebabkan kesilapan manusia, pasukan petugas juga perlu memeriksa sama ada wujud kesilapan ketika melakukan prosedur asas menghidupkan semula tren yang sudah tamat waktu.

“Adalah normal bagi tren untuk habis waktu dan dikendalikan secara manual ke titik pemula sebelum dihidupkan semula untuk kembali ke mod operasi tren automatik (ATO). Lokasi tren dalam mod ATO dapat dilihat pada layar dalam pusat kawalan.

“Ketika tren dihidupkan semula, pemandu dan pusat kawalan akan berada dalam komunikasi radio berterusan kerana tren yang dikendalikan secara manual tidak lagi dapat dilihat di layar.

“Kakitangan yang menjaga pusat kawalan dengan pemandangan penuh tren ATO dapat menyekat supaya dapat beri masa dan ruang kepada tren yang dikendalikan secara manual untuk menuju ke pintu masuk semula dan selamat sampai ke trek.

“Pusat kawalan akan mengarahkan setiap pergerakan pemandu sepanjang proses ini,” katanya seperti dipetik portal FMT hari ini.

Ridza, Ketua Pegawai Eksekutif pertama Prasarana itu mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong kelmarin yang mengaitkan kemalangan itu kerana kecuaian pemandu.

Merujuk pada siasatan awal, Wee berkata kemalangan itu disebabkan oleh “kelalaian pemandu, yang memandu TR40 ke arah yang salah”.

Bercakap lebih lanjut, Ridza berkata pemandu perlu mematuhi arahan pusat kawalan dan memberi maklum balas mereka.

“Prosedurnya tak susah, bukan rahsia. Ia dilakukan hampir setiap hari. Jika mereka gagal melakukan prosedur sederhana ini dan ini menyebabkan kemalangan, maka kita wajib risau. Terdapat lebih banyak masalah dasar.

“Pasukan petugas juga perlu bertanya apakah bilik kawal silap karena membiarkan tren ATO bergerak seperti biasa walaupun tahu ada tren dalam mod manual sedang dalam proses masuk semula,” kata Ridza.

Pada pukul 8.45 malam Isnin, dua tren LRT bertembung di terowong bawah tanah di antara stesen KLCC dan Kampung Baru, mengakibatkan 166 penumpang cedera ringan manakala 47 lagi parah.

Salah satu tren, yang sedang diuji, hanya membawa seorang pemandu.

Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat kemalangan dan laporan dijangka siap dalam dua minggu. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen