Kebun bandar Kampung Baru cari dana, sukarelawan


Noel Achariam

Hasil tanaman di Laman Ulaman Kampung Baru disalurkan kepada golongan memerlukan dan ia diagihkan kepada mereka secara percuma. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Jun, 2023.

LAMAN Ulaman Kampung Baru, sebuah kebun bandar di tengah bandaraya Kuala Lumpur, bergelut untuk pulih sejak pandemik Covid-19.

Ketua projek kebun itu Isfahani Suki memberitahu The Malaysian Insight selepas menyambung semula tanaman pada Mac tahun lalu, mereka kini kekurangan dana dan sukarelawan untuk membantu menanam sayur-sayuran dan buah-buahan bagi disalurkan kepada kumpulan B40.

Isfahani berkata, matlamat utama tanah seluas 0.5 hektar itu adalah untuk menanam makanan kepada golongan memerlukan dan ia diagihkan kepada mereka secara percuma.

“Apa sahaja sayur-sayuran atau buah-buahan yang kami tanam, semuanya diberikan kepada dapur amal, kumpulan B40, pelarian dan masyarakat sekeliling.”

Beliau berkata, pada 2019 tanah itu disediakan secara percuma oleh The Malay Agricultural Settlement (MAS) di Kampung Baru.

“Pada September 2019 kami mula menanam sayur-sayuran dan buah-buahan di sini antaranya cili, terung, bayam, bendi, jagung dan kacang panjang.

“Kami mempunyai kira-kira 20 sukarelawan datang untuk membantu setiap pagi Ahad dari jam 8 hingga 11.30 pagi. Kami mendapat bantuan untuk menanam dan mengagihkan hasil tanaman kami kepada golongan B40.

“Tetapi ia hanya bertahan selama tujuh bulan dan kami terpaksa menutup operasi apabila wabak Covid-19 melanda pada Mac 2020.”

Isfahani berkata pada Mac 2022 mereka kembali ke kebun itu dan mula bercucuk tanam tetapi berdepan masalah kekurangan sumber.

Ketua projek Isfahani Suki berkata mereka kini kekurangan dana dan sukarelawan untuk membantu menanam sayur-sayuran dan buah-buahan di kebun itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Jun, 2023.

“Kos operasi kami kira-kira RM3,500 hingga RM4,000 sebulan. Ini untuk gaji pekerja, beli anak pokok, baja kompos dan bahan lain yang diperlukan.

“Kami juga memerlukan seseorang untuk berada di sini setiap hari bagi memantau dan memastikan semuanya berjalan lancar dan ada seseorang menjaga kebun.

“Pada masa ini, kami masih mampu bertahan kerana kemurahan hati ahli Kelab Rotary Kampung Baru, keluarga dan rakan-rakan.”

Bekas penolong gabenor Kelab Rotary Kampung Baru itu juga berkata, pihak kebun kini sedang berusaha mendapatkan bantuan dalam apa jua bentuk untuk menaik taraf kawasan itu dan menuai lebih banyak hasil.

“Sebarang bentuk bantuan sama ada dana hinggalah kepada sukarelawan amat diperlukan.

“Kami sedar ramai orang juga susah, jadi kita tak nak minta banyak. Mungkin boleh dapat penaja korporat?

“Pada masa ini kami mempunyai kira-kira satu atau dua ahli kelab Rotary datang untuk membantu.

“Kami memerlukan sukarelawan yang berfikiran sama untuk membantu mereka yang memerlukan.”

Isfahani berkata, mereka berharap untuk menjadikan kawasan itu sebagai kebun atau ladang komuniti.

Pada 2019 tanah untuk kebun tanaman itu disediakan secara percuma oleh The Malay Agricultural Settlement di Kampung Baru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Jun, 2023.

Beliau berkata setakat ini Kebun-Kebun Bangsar (KKB), satu lagi kebun dalam bandar di tengah ibu kota, membantu kebun mereka.

Pengasas bersama KKB, Ng Sek San berkata mereka cuba membantu kebun itu.

“Pada April lalu, mereka (Laman Ulaman) datang ke kebun kami untuk meminta nasihat kami mengenai cara mendapatkan sukarelawan.

“Jadi, kami pergi bersama sukarelawan kami untuk membantu mereka mengenai cara mengendalikan ladang.

“Mereka juga meminta untuk melihat bagaimana kawasan itu boleh direka bentuk (dicantikkan). Kami akan kembali semula untuk melihat bagaimana kami boleh membantu.”

Projek kebun KKB yang dimulakan pada 2016 adalah kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Mereka diberi tiga bidang tanah seluas 8 ekar dan sedang giat mengusahakan satu petak seluas 2.5 ekar yang membentuk taman bunga, buah-buahan dan sayur-sayuran. Terdapat juga kawasan lebah dan pepatung.

Isfahani berkata mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh datang ke kebun yang terletak di Lot 1850, Lorong Raja Muda Musa 3, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mereka boleh ditemui di tempat itu setiap Ahad dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. – 5 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen