Henti campur tangan, politikkan isu Sungai Baru, kata Shahidan


MENTERI Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim meminta pihak tidak berkaitan berhenti masuk campur dan mempolitikkan isu pengambilan tanah projek pembangunan semula unit kediaman di Sungai Baru, Kampung Baru yang masih dalam proses rundingan. 

Beliau turut meminta agar kumpulan penduduk yang masih tidak bersetuju dalam proses pengambilan tanah tidak keliru dan terpengaruh dengan pihak yang sekadar mahu “menangguk di air keruh” dengan berlagak “hero”. 

“Orang yang punya tanah lebih berhak daripada orang lain. Mereka menyuarakan pendapat mereka cuma tersalah sikit apabila pendapat itu disalurkan kepada pihak yang mahu mengambil kesempatan. 

“Saya mungkin dicabar oleh pihak lain. Cabarlah saya tidak ada masalah tapi saya tetap memihak kepada orang punya tanah…tidak perlulah cari orang lain kerana kita (kerajaan) yang akan buat keputusan tapi kalau orang lain nak jadi hero terpulanglah,” katanya pada sidang media program Self Defence Awareness @ Jihad Dadah di Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut Perbadanan Kampong Bharu seramai 291 pemilik lot dan unit flat (27 lot teres dan 264 unit flat) yang mewakili 88.72 peratus pemilik telah pun bersetuju dengan projek pembangunan semula itu dan pada masa sama pemaju terus berusaha berjumpa dan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik 37 lot rumah teres yang tidak bersetuju.

Program sehari Self Defence Awareness@ Jihad Dadah dianjurkan Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Pusaka Hanafi Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Wangsa Walk Mall hari ini bertujuan memupuk kesedaran umum agar berwaspada dengan risiko jenayah luar jangka selain mempersiapkan diri dengan asas pertahanan diri.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa yang memberi bayangan terdapat beberapa lagi pemecatan beberapa individu di dalam parti susulan pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Shahidan berharap parti akan memberi lebih perhatian kepada aspek penyatuan ummah. 

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu juga melahirkan rasa kesal atas isu terbabit dan menyifatkan soal pemecatan tidak seharusnya berlaku selain berpandangan masih ada ruang dan peluang untuk parti memperkukuh perpaduan dalam memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menerajui negara. 

“Saya percaya Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) juga ingin meninggalkan legasi yang menyatukan ummah.

“Kalau sebelum PRU (pilihan raya umum) memecah-belahkan ummah, kita buat pilihan raya kita akan rugi, payah menang,” katanya.– Bernama, 25 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen