RUU Tanah Kampung Baru beri perlindungan seumur hidup kepada pemilik, kata Shahidan


Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata RUU Tanah Kampung Baru dijangka dibentang di Parlimen pada awal tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

DRAF Rang Undang-Undang (RUU) Tanah Kampung Baru yang dijangka dibentang di Parlimen pada awal tahun depan diharap akan memberi jaminan perlindungan seumur hidup kepada pemilik tanah Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata sejak dahulu tiada undang-undang yang boleh melindungi secara khusus Tanah Rizab Melayu bagi menghalang mana-mana pihak yang mahu menukar status tanah berkenaan.

“RUU Tanah Kampung Baru yang kini dalam semakan Pejabat Peguam Negara diharap dapat menjaga kepentingan hak milik pemilik tanah Kampung Baru sampai bila-bila, dan pembangunan yang dirancang pula akan dilaksanakan dalam bentuk pajakan serta dipersetujui bersama antara pemilik tanah dan pemaju.

“Saya yakin RUU ini sekiranya diperkenalkan akan menjadi panduan kepada negeri-negeri lain, supaya memperkenalkan RUU sama untuk menyelamatkan tanah daripada bertukar milik,” katanya pada ucapan perasmian pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 (PIPKB 2040) dan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kampung Baru (PPPSKB) di Kuala Lumpur, malam ini.

Turut hadir timbalan menterinya Jalaluddin Alias dan Pengerusi Perbadanan Kampong Bharu Affendi Zahari.

Sementara itu mengenai PIPKB 2040, Shahidan berkata pelan induk itu dirangka sebagai dokumen panduan untuk mentransformasi pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial secara bersepadu sekali gus memandu hala tuju Kampung Baru secara menyeluruh untuk 20 tahun akan datang.

“Ia akan menjadi mekanisme kepada kerajaan dan Perbadanan Kampong Bharu (PKB) khususnya  dalam memudah cara, mengawal selia dan menilai semua cadangan pembangunan sama ada secara usaha sama penduduk, pemaju dan syarikat berkaitan kerjaan (GLC).

“Insya-Allah pelan induk ini akan menjadikan Kampung Baru sebagai penempatan kompetitif yang memberi keutamaan kepada orang Melayu di tengah ibu negara,” katanya.

Shahidan berkata PPPSKB pula disediakan bagi membantu dan menggalakkan pemilik membangunkan tanah secara bersendirian atau membuat usaha sama dengan pemaju, GLC dan swasta.

Katanya PPPSKB akan menyediakan insentif khusus yang akan dinikmati oleh pemilik tanah dan pemaju merangkumi urusan hal tanah dan pembangunan iaitu antaranya pengecualian 100 peratus caj pembangunan, pemberian nisbah plot terbuka dan pengurangan 70 peratus caj Infrastructure Service Fund. – Bernama, 25 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen