Kekal dalam BN, pakar beritahu MCA


Alfian Z.M. Tahir

Wee Ka Siong menyatakan kesediaan partinya bergerak sendiri. – Gambar Facebook MCA, 24 Oktober, 2023.

MCA perlu kekal dalam Barisan Nasional (BN) kerana parti kaum Cina itu tidak akan ke mana jika berada di luar gabungan tersebut, kata pemerhati.

Menurut mereka, MCA dengan hanya ada dua ahli Parlimen tidak sepatutnya mengetepikan BN melainkan ditawar jawatan tinggi daripada sekutu baharu.

Pada Ahad, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata partinya sedia bergerak sendiri sekiranya mana-mana parti dalam BN berhasrat membentuk pakatan baharu dan meninggalkan rakan komponennya sekarang.

“Apa yang paling penting, MCA mesti menegaskan ia sebuah parti politik dan bukannya badan kebajikan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan agung tahunan parti ke-70 di Wisma MCA.

Kata Wee, prinsip parti yang digariskan pengasas parti Tan Cheng Lock kekal sebagai pegangan.

Bekas menteri pengangkutan itu juga juga mengakui perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengubah dinamik antara komponen BN.

Kata Wee, MCA terbuka untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak asalkan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan dan perjuangan BN, demi pembaharuan serta pemulihan BN.

Tambah Wee, menuju PRU16 MCA tidak lagi boleh terus jadi parti sekutu yang nasibnya ditentukan oleh parti lain.

James Chin dari Tasmania University berkata sebagai parti yang bernilai jutaan ringgit, MCA tidak sepatutnya meninggalkan BN kerana parti itu tidak akan ke mana jika keluar dari gabungan itu.

Mengulas lanjut, Chin berkata Wee perlu perlu ‘bercakap besar’ di hadapan ahli MCA susulan ramai ahli parti yang marah selepas diketepikan daripada memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Mereka boleh pergi solo tapi tidak akan ke mana. Ya, MCA parti kaya, bangunan mereka di Jalan Ampang sahaja bernilai jutaan ringgit kerana lokasinya dan mereka juga memiliki The Star yang juga entiti berjuta-juta dolar. Tapi semua wang itu tidak bernilai jika mereka tidak dapat tarik undi.

“Wee terpaksa bercakap dengan nada sedemikian kerana ahlinya marah. Mereka tidak berpuas hati dengan Ahmad Zahid Hamidi kerana mereka tidak diberi sebarang jawatan, mereka diketepikan daripada enam pilihan raya negeri,” jelas Chin.

Senada dengan Chin, Dr Oh Ei Sun perunding politik dari Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia.

Bagaimanapun katanya, dengan dua kerusi itu, MCA mungkin masih dicari oleh gabungan yang mahu membentuk kerajaan dengan majoriti tipis.

“Tapi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi PAS sebagai contoh mungkin akan menghakis sokongan pengundi  Cina,” katanya.

Ketika ditanya sama ada MCA perlu bergerak sendiri dalam masa terdekat, beliau berkata parti itu perlu kekal bersama BN melainkan mereka ditawarkan jawatan yang besar oleh PN.

Bersabar

Sementara, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata MCA mesti bersabar kerana parti itu mungkin akan berakhir seperti Gerakan yang meninggalkan BN.

Kata ahli akademik itu, MCA tidak pernah pulih daripada kejatuhannya sejak 2008.

“Kaum Cina sekarang teguh di belakang DAP dan MCA tidak pernah pulih daripada kekalahan. DAP menunjukkan prestasi cemerlang mentadbir Pulau Pinang dan Selangor, sekarang mereka di pusat.

“MCA perlu bersabar, Umno perlahan-lahan bangkit semula jadi mereka perlu beri Umno masa. Jika MCA tinggalkan BN, mereka akan berakhir seperti Gerakan.

“Jika Umno kembali kuat dan PH kekal kukuh, saya yakin MCA akan dibawa ke dalam kerajaan, kata Mazlan. – 24 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen