Pelangai kekal milik BN, Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi


CALON Barisan Nasional (BN) Amizar Abu Adam menang dalam  Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini dengan majoriti 2,949 undi.

Ahli Jawatankuasa Umno Bentong itu memperoleh 7,324 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi, sekali gus hilang wang deposit.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong, malam ini.

Mohammad Shahid turut mengumumkan peratusan pengundi yang keluar mengundi pada hari ini adalah 72.12 peratus.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya Johari Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lepas, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN) yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

Kemenangan Amizar, 53 yang merupakan anak jati Felda Chemomoi itu sekali gus memastikan DUN Pelangai, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuantan, kekal sebagai kubu kuat BN di Pahang sejak tahun 1986.

Ia juga menyaksikan Amizar meneruskan legasi mentornya, bekas Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob yang menyandang kerusi itu selama lapan penggal bermula 1986 sehingga 2022, sebelum Adnan memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU15 dengan tempatnya digantikan Allahyarham Johari.

Amizar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM) membuat kemunculan sulung pada PRU15 dengan bertanding atas tiket BN di DUN Ketari.

Beliau bagaimanapun tewas dengan majoriti tipis 120 undi kepada calon PH Su Keong Siong yang memperoleh 9,722 undi dalam pertarungan tiga penjuru yang turut melibatkan calon PN Tan Wei Leong (4,290 undi). – Bernama, 7 Oktober, 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen