Bersih selar tindakan timbalan menteri umum dana tambahan sekolah di Pelangai


Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying umum RM110,000 dana tambahan bagi 3 sekolah yang berada dalam kawasan DUN Pelangai pada 22 September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2023.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini berkata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying menyalahgunakan kedudukannya apabila beliau mengumumkan pembiayaan tambahan untuk tiga sekolah di Pelangai yang bakal mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

Bersih berkata perbuatan itu merupakan pengaruh tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dalam pilihan raya.

Lim dilapor mengumumkan peruntukan RM30,000 setiap satu kepada dua sekolah dan RM50,000 kepada sebuah sekolah di kerusi DUN Pelangai di Pahang.

Dana itu adalah di atas wang yang diperuntukkan untuk sekolah bantuan kerajaan.

“Kami mengeluarkan kenyataan semasa enam pilihan raya negeri yang menggesa kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar mematuhi larangan 3C: ‘No Conditions’, ‘No Campaign’ dan ‘No Candidates’ supaya sebarang pengumuman oleh kementerian dan agensi persekutuan semasa tempoh pilihan raya tidak disalahgunakan dalam usaha untuk memenangi pilihan raya,” kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menambah berdasarkan garis panduan ini, pengumuman timbalan menteri pendidikan “memang melanggar garis panduan ‘tiada kempen’”.

Bersih berkata jika peruntukan tambahan diberikan kepada semua sekolah SJKC (Cina) atau SJKT (Tamil) di seluruh Pahang, maka pengumuman itu boleh dianggap tidak khusus untuk sekolah di DUN Pelangai sahaja.

Bersih berkata walaupun tidak menjadi kesalahan di bawah undang-undang untuk membuat sebarang pengumuman peruntukan semasa pilihan raya, tindakan itu “bercanggah dengan prinsip pilihan raya yang bersih dan adil kerana pembangkang tidak mempunyai akses kepada sumber atau jentera kerajaan sedemikian” – 27 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen