Amizar ikrar jalankan amanah dengan baik


Amizar bersyukur atas kemenangan ini selepas tewas di Ketari pada PRU15 lalu. – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2023.

AMIZAR Abu Adam berikrar akan memikul amanah yang diberikan pengundi kepadanya dengan baik dan meneruskan legasi Allahyarham Johari Harun selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Amizar, 53 yang mewakili Barisan Nasional (BN) turut melahirkan rasa syukur atas kemenangan itu setelah beliau sebelum ini tewas sebagai calon di DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan BN serta pengundi kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan yang dikenali sebagai ‘penghujung Pahang’ itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Pelangai yang memilih BN sebagai parti yang akan terus memberikan perkhidmatan di sini,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong, malam ini.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong itu menang dengan majoriti 2,949 undi apabila meraih 7,324 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47 undi).

PRK hari ini diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan selepas Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. – Bernama, 7 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen