Kembalikan GST untuk elak pembaziran, kata Wee


Ahli Parlimen Ayer Hitam Dr Wee Ka Siong berkata ia mengelakkan pembaziran di samping mengkaji pelaksanaan cukai keuntungan harta tanah dan cukai keuntungan modal yang akan dilaksanakan tahun hadapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2023.

KERAJAAN disarankan mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi mengelakkan pembaziran di samping mengkaji pelaksanaan cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan cukai keuntungan modal (CGT) yang akan dilaksanakan tahun hadapan memandangkan pertindihan cukai akan berlaku.

Ahli Parlimen Ayer Hitam Dr Wee Ka Siong berkata menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan sistem e-invois bagi meningkatkan sumbangan hasil cukai negara.

Bagaimanapun, Wee berkata sistem e-invois adalah satu komponen dalam cukai GST yang diguna pakai sebelum ini.

“Kembalikan GST. Mengapa kita hendak membelanjakan lebih untuk e-invois sedangkan e-invois ini merupakan komponen dalam GST, dan menerusi GST segalanya adalah lebih jelas dan telus,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan rakyat hari ini.

Wee yang juga Presiden MCA berkata cukai RPGT dan CGT adalah bertindih sekali gus meminta penjelasan terperinci mengenainya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi meluaskan asas hasil negara dan pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat.

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0% ketimbang 6.0% dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. 

Anwar berkata kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10% mulai 1 Mac 2024. – Bernama, 17 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen