PRESIDEN MCA Wee Ka Siong merayu kepada Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk tidak meneruskan keputusannya mengenakan semula yuran transaksi bagi pembayaran yang diterima melalui platform kod QR DuitNow mulai 1 November.
Wee berkata PayNet harus terus mengetepikan kadar diskaun pedagang (MDR) untuk pengguna QR DuitNow kerana penepian itu akan memberi manfaat kepada peniaga kecil dan bank.
“Mereka sepatutnya teruskan penepian bagi pengguna DuitNow QR yang kebanyakannya adalah dari peniaga kecil yang akan menerima bayaran tunai sekiranya mereka tidak mengguna DuitNow QR,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Rangkaian pembayaran sebelum ini mengumumkan akan menarik balik penepian MDR mulai 1 November dan vendor mulai tarikh itu akan dikenakan yuran transaksi untuk pembayaran yang diterima melalui platform kod QR DuitNow.
Penepian MDR untuk pembayaran DuitNow QR kepada peniaga, telah dilaksanakan sejak 2019 dan dilanjutkan semasa pandemik Covid-19. – 28 September, 2023.
Komen