MCA tunggu rundingan kerusi PRN selesai sebelum atur gerak jentera


Kata Wee Ka Siong, rundingan kerusi itu satu cabaran penting untuk menterjemahkan kebersamaan kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

MCA akan menunggu rundingan kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri selesai sebelum mengatur gerak kerja jenteranya.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata langkah itu penting kerana hasil rundingan berkenaan diharap dapat menterjemahkan semangat keberadaan dan kebersamaan parti-parti di bawah kerajaan perpaduan.

“Saya rasa penterjemahan itu (penting) dalam bentuk rundingan kerusi, macam mana kita nak menterjemahkan semangat kita bersama-sama. Saya rasa itu antara perkara dan cabaran paling besar (yang perlu dihadapi parti-parti).

“Apabila ia (rundingan kerusi) dimuktamadkan, dari situlah saya rasa parti masing-masing akan membuat keputusan bagaimana ia akan berdepan dengan akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas mengundi pada proses pemilihan MCA Bahagian Johor Bahru di Dewan Jubli Intan di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaan MCA untuk membantu jentera kerajaan perpaduan termasuk calon Pakatan Harapan (PH) pada PRN enam negeri akan datang.

Enam negeri yang akan menghadapi PRN tahun ini ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Wee berkata mana-mana parti juga tidak boleh syok sendiri dan menganggap sesetengah kawasan merupakan milik mereka sebelum rundingan mengenai pembahagian kerusi dimuktamadkan.

“(Rundingan) belum dimuktamadkan, mana-mana parti tak boleh kata…oh itu parti saya, di sini parti saya bertanding. Tetapi kalau semangat kerajaan perpaduan diterjemahkan dalam bahagian atau kawasan-kawasan semasa PRN, itulah yang menguji kematangan pemimpin,” katanya. – Bernama, 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen