Kemenangan di Pelangai baik untuk BN, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir Andrew Wells

Undi generasi ketiga Felda pergi kepada PN bukan petanda baik untuk BN. – Gambar Facebook, 9 Oktober, 2023.

MESKI mendapat undi daripada pengundi muda di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, Perikatan Nasional (PN) masih gagal mendapat sokongan pengundi tua dan bukan Islam, kata pemerhati politik.

Mereka berkata kepada The Malaysian Insight, PN masih belum mampu memecahkan ‘taboo’ dalam kalangan pengundi bukan Melayu untuk menyokong gabungan itu selain tidak mendapat kepercayaan peneroka Felda yang menyokong Barisan Nasional (BN) selama beberapa dekad.

BN mempertahankan kerusi Pelangai di Pahang Sabtu lalu apabila calonnya Amizar Abu Adam menang tapi dengan majoriti yang merosot iaitu 2,949 undi.

Ahli Jawatankuasa Umno Bentong itu mendapat 7,324 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, yang mendapat 4,375 votes dan calon Bebas Haslihelmy D.M. Zulhasni, yang hanya menerima 47 undi serta hilang deposit.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong, semalam.

BN menguasai Pelangai sejak 1986.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata PN gagal menarik pengundi daripada tiga kategori iaitu orang tua di kampung tradisional Melayu serta kaum Cina dan Orang Asli.

Tambahnya, PN berjaya mendapatkan sokongan daripada pengundi muda Melayu termasuk generasi ketiga Felda.

“Pelangai adalah kubu kuat BN tetapi sokongan kepada PN memang meningkat terutamanya daripada segmen pengundi muda. BN sepatutnya mendapat majoriti lebih besar kerana kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (BN).

“Namun begitu, undi pergi ke PN. Generasi ketiga peneroka Felda mengundi PN dan ini bukan petanda baik untuk kerajaan. Tetapi, PN tidak dapat undi daripada generasi pertama dan kedua peneroka Felda yang masih mengundi BN.

“Tambahan pula, penyokong tegar BN terus menyokong BN manakala kaum Cina dan Orang Asli tidak memihak kepada PN.

“Sekarang PH-BN kena cari formula bagaimana untuk memenangi pengundi muda,” kata Hisomuddin.

PRK Pelangai diadakan selepas penyandangnya Johari Harun, 53 yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum November, Johari memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari PH mendapat 2,031 undi dan Isa Ahmad dari Pejuang mendapat 65 undi.

Amizar, anak jati Felda Chemomoi, membuat penampilan sulung dalam pilihan raya umum tahun lepas sebagai calon BN bagi DUN Ketari.

Beliau kalah tipis 120 undi kepada calon PH Su Keong Siong yang memperoleh 9,722 undi dalam pertembungan tiga penjuru. Calon PN Tan Wei Leong mendapat 4,290 undi. – 9 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen