PRK: Kemenangan BN sudah dijangka, kata penganalisis


Kata penganalisis, kemenangan BN itu menunjukkan warga Pelangai menghargai usaha dibuat Allahyarham Johari Harun. – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2023.

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini tidak mengejutkan dan sudah dijangka walaupun majoriti yang diperoleh berkurangan, menurut penganalisis politik.

Calon BN Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.

Jumlah majoriti undi itu berkurangan berbanding 4,048 undi diperoleh Allahyarham Johari Harun yang mewakili BN dalam persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Awang Azman Awang Pawi berkata kemenangan BN itu menunjukkan warga Pelangai menghargai usaha dibuat Allahyarham Johari yang merangka pelbagai perancangan dalam tempoh singkat berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selepas PRU15.

Beliau berkata kemenangan itu juga ekoran kesedaran perlunya sinergi antara Kerajaan Pusat dan negeri dalam memastikan kesinambungan khidmat dan usaha penyandang kerusi DUN itu sebelum ini dapat diteruskan tanpa masalah.

“Jadi, antara tugasan utama yang perlu dilaksanakan Amizar ialah memastikan legasi Allahyarham tidak dihentikan, antara yang perlu dilihat secara serius ialah hal berkaitan infrastruktur seperti lampu jalan, akses laluan yang lebih selamat ke Pelangai dan jalur lebar Internet,” katanya kepada Bernama di sini.

Selain itu, Awang Azman berkata kemenangan itu juga secara tidak langsung menunjukkan penerimaan rakyat terutamanya penyokong BN terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) khususnya di Pahang.

“Ia juga memberi keabsahan lebih besar terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan, seterusnya membolehkan BN dan PH lebih fokus dalam mengemudi negeri dan negara dan tidak perlu hilang fokus kerana sibuk menjawab tohmahan dan permainan sentimen pihak lawan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan  kemenangan BN menunjukkan tidak semua undi Melayu berubah kepada PN untuk mewujudkan apa yang dikatakan sebagai ‘gelombang hijau’.

 “Kemenangan BN menunjukkan templat  di tempat lain tidak boleh dibawa di Pelangai. Walaupun ada isu seperti pembangunan dengan ada yang membandingkan kawasan itu dengan kawasan sekitar, namun mereka selesa dengan kehidupan terutamanya kepada orang lama,” katanya.

Kemenangan Amizar, 53 yang merupakan anak jati Felda Chemomoi memastikan DUN Pelangai, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuantan, kekal sebagai kubu kuat BN di Pahang sejak 1986.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. – Bernama, 7 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen