LOKOMOTIF wap Flying Scotsman terbabit dalam nahas selepas bertembung dengan satu lagi kereta api di Stesen Kereta Api Aviemore di Cairngorms, Scotland pada Jumaat malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Stesen ini menempatkan Strathspey Railway, laluan yang membawa pengunjung menaiki kereta api wap di utara Scotland.
Menurut polis dua orang dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga tetapi kecederaan mereka dipercayai tidak serius, kata polis.
Jurucakap Muzium Kereta Api Negara berkata: “Kami mengesahkan lokomotif wap Flying Scotsman terlibat dalam kemalangan di Stesen Aviemore. Kami masih mengumpulkan maklumat.”
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Scotland menghantar lapan jentera ke lokasi kejadian dan menurut polis mangsa yang lain dirawat di stesen itu.
Seorang jurucakap polis berkata: “Kira-kira pukul 7 petang pada Jumaat, 29 September kami menerima laporan mengenai dua kereta api bertembung pada had kelajuan yang rendah di Stesen Kereta Api Aviemore.”
Flying Scotsman dijadualkan untuk melakukan perjalanan pada hujung minggu ini. – Bernama, 1 Oktober, 2023.
Komen