SCOTLAND akan menarik balik kebanyakan baki sekatan Covid-19 minggu depan, tetapi pemakaian pelitup muka akan terus diperlukan dalam pengangkutan awam ketika tahap jangkitan tinggi, kata Menteri Pertama Nicola Sturgeon pada Selasa.
“Memandangkan peningkatan semasa dalam bilangan kes, kami menganggap adalah lebih waspada mengekalkan keperluan ini dalam peraturan untuk tempoh yang singkat,” kata Sturgeon.
Keperluan mengumpul butiran pelanggan untuk pengesanan kontak dan perniagaan serta tempat ibadat untuk mengikuti panduan Covid akan ditarik balik pada 21 Mac.
Semua langkah perjalanan koronavirus yang masih ada, termasuk borang pengesan penumpang, akan tamat pada Jumaat.
Tinjauan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan mendapati satu daripada 18 individu dijangkiti virus itu di Scotland dalam seminggu hingga 6 Mac.
Kerajaan Scotland berkata virus itu terus memberikan ancaman sederhana, tetapi akan beralih kepada ancaman rendah pada musim bunga, kata Sturgeon.
Peningkatan kes dicetuskan oleh sub-keturunan BA.2 bagi varian Omicron, yang dianggarkan mempunyai kadar pertumbuhan 80% lebih tinggi daripada varian asal.
Tetapi gejala lebih ringan dan pengambilan vaksin yang tinggi di Scotland tidak menyebabkan kemasukan ke hospital bagi penyakit teruk yang memerlukan rawatan rapi, kata Sturgeon.
Beliau menegaskan Omicron menyebabkan tahap penyakit dan kematian yang ketara di Hong Kong, mempunyai kadar vaksinasi agak rendah, terutamanya dalam populasi yang lebih tua.
Dos penggalak untuk warga emas di rumah jagaan bermula minggu lalu dan akan diperluaskan kepada kumpulan lain dalam beberapa minggu akan datang. – AFP, 16 Mac, 2022.
Komen