PERKHIDMATAN kereta api rentas sempadan antara Scotland dan England berkemungkinan terjejas teruk hari ini berikutan mogok yang dilancarkan Kesatuan Aslef, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemandu kereta api dari 15 syarikat berbeza yang juga ahli kesatuan itu melancarkan mogok susulan pertikaian berhubung isu gaji.
Tiada perkhidmatan antara Scotland dan England hari ini akibat mogok itu menjejaskan Avanti West Coast, TransPennine Express dan CrossCountry.
Pengendali perkhidmatan berkenaan mengesahkan mereka tidak akan menjalankan perkhidmatan pada hari berkenaan.
Piket akan diadakan di Glasgow Central, Edinburgh Waverley dan Depoh Rel Polmadie di Glasgow.
Setiausaha Agung Aslef Mick Whelan berkata mogok tidak dapat dielakkan melainkan pertikaian berhubung masalah gaji yang sudah lama berpanjangan dapat diselesaikan.
“Keadaan semakin teruk dan ahli saya mahu mengadakan lebih banyak mogok dan dijangka berlarutan memandangan perbincangan kurang menampakkan hasil,” katanya. – Bernama, 5 Januari, 2023.
Komen