BEKAS ejen perisikan Libya yang didakwa membuat bom dalam insiden pengebomam pesawat Pan Am di Scotland pada 1988, mengorbankan 270 orang, hadir di mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam bagi menghadapi pertuduhan serangan pengganas.
Abu Agila Mohammad Mas’ud Kheir Al-Marimi yang dipercayai berkerja dalam operasi perisikan rejim diktator Libya, Muammar Gaddafi antara 1973 dan 2011, berdepan tiga tuduhan berhubung insiden pengeboman Lockerbie.
Pendakwa raya persekutuan berkata tidak berhasrat untuk mendapatkan hukuman mati tetapi Masud mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan “memusnahkan pesawat yang mengakibatkan kematian” dan dua pertuduhan lain yang berkaitan.
Hakim yang mengetuai perbicaraan di Mahkamah Daerah AS di Washington membacakan pertuduhan dan hak kepada Masud yang berusia 71 tahun sebelum memerintahkan beliau ditahan tanpa bon sehingga perbicaraan tahanan pada 27 Disember.
Peguam Negara AS Merrick Garland berkata penahanan Masud adalah langkah penting dalam misi menghormati mangsa dan mendapatkan keadilan bagi pihak insan tersayang mereka.
“Penguatkuasa undang-undang Amerika dan Scotland bekerja tanpa jemu untuk mengenal pasti, mencari dan membawa ke muka pengadilan pelaku serangan ngeri ini,” kata Garland.
Hanya seorang sahaja disabitkan atas kesalahan pengeboman pesawat Pan Am 103 pada 21 Disember 1988.
Pesawat menuju New York itu meletup 38 minit selepas ia berlepas dari London, menyebabkan fiuslaj utama jatuh ke di bandar Lockerbie dan menyebarkan serpihan di kawasan yang luas.
Insiden itu membunuh semua 259 orang di dalam jet jumbo itu, termasuk 190 orang Amerika, dan 11 orang di darat.
Dua perisik Libya—Abdelbaset Ali Mohmet al-Megrahi dan Al Amin Khalifa Fhimah—didakwa atas pengeboman itu dan dibicarakan oleh mahkamah Scotland di Belanda.
Megrahi menghabiskan tujuh tahun di penjara Scotland selepas sabitan pada 2001 manakala Fhimah dibebaskan.
Megrahi meninggal dunia di Libya pada 2012, sentiasa menegaskan tidak bersalah.
Keluarganya mengemukakan rayuan anumerta bagi membersihkan namanya pada 2017, tetapi Mahkamah Tinggi Scotland mengekalkan sabitannya pada 2021. – AFP, 13 Disember, 2022.
Komen