Perancis mara ke separuh akhir selepas benam England 2-1


Kemenangan 2-1 ke atas England di Stadium AlBayt di Doha, Qatar awal pagi tadi mengekalkan misi mempertahankan kejuaraan Perancis di Piala Dunia. – Gambar AFP, 11 Disember, 2022.

JUARA bertahan Perancis meraih kemenangan 2-1 ke atas England selepas Harry Kane gagal menyempurnakan penalti pada lewat permainan suku akhir Piala Dunia awal pagi tadi.

Perancis akan bertemu Maghribi, yang muncul sebagai pasukan pertama dari benua Afrika berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia selepas menewaskan Portugal 1-0, Khamis ini.

Tandukan penjaring terbanyak Olivier Giroud 12 minit sebelum perlawanan yang berlangsung di Stadium AlBayt tamat mengekalkan misi mempertahankan kejuaraan Perancis di Piala Dunia.

Rembatan padu Aurelien Tchouameni membuka tirai jaringan untuk Perancis mendahului pada minit ke-17, tetapi penyerang England Harry Kane kemudian menyamai kedudukan menerusi sepakan penalti pada babak kedua.

Giroud menanduk masuk gol kemenangan buat Perancis selepas menerima hantaran Antoine Griezmann pada minit ke-78.

Ketika England bermati-matian memburu gol penyamaan, pasukan itu sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Mason Mount dikasariLucas Hernandez pada minit ke-81.

Kane bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang kedua untuk menyamakan kedudukan apabila sepakannya melambung tinggi. – 11 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen