SEBANYAK 37 kes baharu cacar monyet dikesan di England dan Scotland, menjadikan jumlah keseluruhan kini 57 kes, menurut agensi kesihatan awam semalam.
Tiga puluh enam kes disahkan di England sahaja, kata Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA).
Agensi Kesihatan Awam Scotland (PHS) pula mengesahkan satu kes di negara itu.
UKHSA dalam kenyataannya berkata kontak rapat kes positif atau individu yang mengalami gejala cacar monyet dinasihatkan supaya menjalani kuarantin selama 21 hari.
Kontak rapat juga diberi bekalan vaksin cacar bagi mengurangkan risiko jangkitan bergejala teruk, katanya.
Ketua Penasihat Perubatan UKHSA Susan Hopkins berkata pengesanan kontak sedang dijalankan bagi membendung jangkitan yang menyebabkan ruam seperti cacar air.
“Oleh kerana virus merebak melalui sentuhan langsung, kami menggesa orang ramai supaya mengambil perhatian sekiranya mengalami ruam atau luka luar biasa, dan segera menghubungi jabatan kesihatan jika mengalami gejala.
“Kebanyakan kes di United Kingdom (UK) dan Eropah baru-baru ini ditemui pada lelaki gay dan biseksual. Jadi kami amat menggalakkan supaya golongan ini berwaspada terhadap gejala,” katanya dalam kenyataan.
UK melaporkan kes pertama cacar air pada 7 Mei lalu, membabitkan seorang pesakit yang pulang dari Nigeria.
Pihak berkuasa kesihatan berkata kes-kes selepas itu tiada kaitan dengan sebarang perjalanan dan menular dalam komuniti melalui jangkitan seksual. – AFP, 24 Mei, 2022.
Komen