DUA maut, ribuan rumah terputus bekalan elektrik manakala beberapa pemandu terperangkap di jalan raya apabila ribut kencang melanda utara UK, menurut pihak berkuasa hari ini.
Seorang wanita dalam tweet video penerbangannya dari Paris bergelut untuk mendarat di Manchester, barat laut England susulan angin kencang lewat Jumaat.
Ketakutan penumpang ditambah jeritan dan teriakan sejurus sebelum juruterbang membatalkan pendaratan. Bagaimanapun, pendaratan itu berjaya pada percubaan kedua.
Jabatan meteorologi UK mengeluarkan amaran “cuaca merah” yang jarang berlaku kerana “Ribut Arwen” membawa tiupan angin hampir 100 batu (160 kilometer) sejam.
“Orang ramai perlu menjauhi pantai kerana ombak dan serpihan adalah bahaya kepada kehidupan,” menurut Jabatan Meteorologi.
Menurut polis, seorang lelaki maut apabila keretanya dihempap pokok tumbang di Ireland Utara lewat Jumaat. Seorang lagi lelaki maut apabila dihempap pokok di Lake District, barat laut England.
Sementara itu, menurut syarikat utiliti angin ribut teruk menyebabkan 75,000 rumah masih terputus bekalan elektrik pada Sabtu di Scotland.
Perkhidmatan kereta api ekspres di utara Newcastle digantung buat sementara waktu dan jalan ditutup susulan serpihan pokok tumbang di Scotland manakala salji yang turun sejak petang Jumaat menganggu laluan dengan lebih luas.
Menurut polis trafik dan pengguna media sosial, salji dan pokok tumbang menyebabkan jalan tersumbat di seluruh utara England dan Scotland sekali gus memaksa ramai pemandu tidur di dalam kenderaan semalaman.
Kira-kira 120 lori “terperangkap dalam salji” di salah satu lebuh raya antara Manchester dan Leeds, menurut polis sambil menghantar tweet gambar beberapa jengkaut membersihkan jalan yang dilitupi salji tebal.
Walaupun angin kembali reda menjelang pagi Sabtu, namun Jabatan Meteorologi memberi amaran keadaan akan kekal mencabar berikutan ais dan salji.
Orang ramai digesa untuk mengelakkan perjalanan yang tidak penting.
Pengendali kereta api ke barat daya England memberi amaran tentang “pelbagai pokok dan halangan menghalang kereta api”.
Perkhidmatan ScotRail digantung antara Edinburgh dan Glasgow selepas sebuah bangsal diterbangkan ke atas landasan.
Ribut itu juga memaksa pembatalan sekurang-kurangnya satu perlawanan bola sepak liga bawahan dan pertemuan lumba kuda lewat Sabtu. – AFP, 27 November, 2021.
Komen