MAJLIS Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani akan menghantar surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mendesak tindakan gantung ke atas Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin daripada Dewan Rakyat kerana perlakuan biadab, lapor media.
Surat itu akan dihantar sebelum 6 Oktober ini, tiga hari sebelum Parlimen dijadual bersidang bagi sesi pembentangan Belanjawan 2024, kata Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin.
“Kritik, beza pendapat boleh tapi jangan hina, aib, malu, malah cerca tak boleh jadi amalan,” katanya, seperti dipetik Free Malaysia Today.
Majlis ini minggu lalu membuat gesaan supaya Radzi dikenakan tindakan selepas kekecohan di Dewan Rakyat pada 19 September semasa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Pada ketika itu, Radzi diusir keluar dari Dewan Rakyat selepas bertegang urat dengan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dan seterusnya mempertikaikan keputusan speaker Johari Abdul terhadap bantahannya.
Radzi mendakwa Anwar membuat sangkaan jahat terhadapnya tetapi dipertahankan oleh speaker yang berpendapat kenyataan perdana menteri itu dibuat atas keyakinannya.
Radzi kemudian berkata atas keyakinan juga beliau mahu membuat kenyataan bahawa “Tambun seorang peliwat”, merujuk sabitan kes mahkamah yang pernah didakwa ke atas Anwar sebelum ini.
Kekecohan di Dewan Rakyat itu berlaku ketika Anwar menjelaskan keputusan Peguam Negara memohon Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi. – Bernama, 28 September, 2023.
Komen