KEPUTUSAN PKR meletakkan Shamsul Iskandar Md Akin untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk adalah kerana parti itu percaya kubu kuat dipegang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu sudah semakin goyah.
Shamsul berkata keputusan menghantarnya mencabar ahli Parlimen lima penggal itu dibuat berdasarkan kepada data, dan bukan kerana PKR mahu menghukumnya atau menamatkan kerjaya politiknya.
“Ada beberapa faktor penyebab, pertama mengenai kem tentera Hutang Melintang, yang sudah ditutup selepas 2018, jadi kira-kira 2,000 pengundi terkeluar daripada bank undi Zahid.
“Ada juga tambahan 15,000 pengundi baharu di Parlimen itu – khususnya daripada segmen golongan belia.
“Pada pilihan raya umum lalu, Zahid menang dengan hanya 5,073 undi. Menambah semua faktor ini, sudah pasti boleh untuk saya rapatkan jurang itu,” katanya yang juga bekas ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, dipetik berkata kepada The Vibes.
Zahid menjadi ahli Parlimen Bagan Datuk sejak 1995. Parlimen itu terletak di selatan Perak dan bersempadan dengan Selangor. Ia kerusi majoriti Melayu (60%), diikuti dengan Cina (18%), India (22%) dan lain-lain (1%).
Pada PRU14, Zahid mengekalkan kerusi itu selepas menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) dan calon PAS Ata Abdul Muneim Hasan Adli.
Menurut laporan, sokongan kepada Zahid kebanyakannya daripada kalangan masyarakat Jawa dan Telugu di kawasan itu.
Bagan Datuk akan menyaksikan perlawanan empat penjuru termasuk Zahid, Shamsul calon Perikatan Nasional Muhammad Faiz Na’aman dan calon bebas Mohamed Tawfik Ismail. – 12 November, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen