Anda mahu Zahid jadi perdana menteri?


KINI semakin jelas – walaupun beliau menyatakan sebaliknya – Ahmad Zahid Hamidi berhasrat menuntut jawatan perdana menteri untuk dirinya sendiri sekiranya Umno-BN memenangi pilihan raya umum yang akan datang.

Beliau memujuk Ismail Sabri Yaacob supaya mengadakan pilihan raya yang awal atas janji Ismail boleh terus menjadi perdana menteri; kini pilihan raya diumumkan, Zahid menunjukkan warna sebenarnya.

Menggunakan kuasanya sebagai presiden parti, beliau menggugurkan beberapa penyokong rapat Ismail termasuk Shahidan Kassim dan Annuar Musa daripada bertanding atas tiket Umno.

Beliau sedang mencuba memenuhkan Parlimen dengan mereka yang setia kepadanya dan hanya beliau sahaja.

Saya tidak menitiskan air mata untuk mereka – Shahidan atau Annuar – tetapi ia petunjuk yang paling jelas niat-niat sebenar Zahid.

Kemenangan Umno-BN akan cukup teruk; suatu kemenangan Umno-BN yang akan menjadikan Zahid perdana menteri adalah satu bencana yang tidak dapat dielakkan.

Jika anda meneliti rekod beliau semasa memegang jawatan, sangat jelas beliau tidak terkenal cekap dalam apa-apa selain daripada mengeksploitasikan sentimen perkauman atau keagamaan untuk mendaki tangga politik.

Tiada bukti, walaupun bertahun-tahun beliau memegang jawatan awam, beliau seorang pemimpin atau pentadbir yang cekap atau memahami cabaran ekonomi yang dihadapi negara.

Beliau mendakwa mahu memperjuangkan bangsa, agama dan negara tetapi bersama Najib Razak dan lain-lain, beliau mengetuai kerajaan yang paling korup dalam sejarah kita. Berbilion-bilion dirompak atas nama mempertahankan bangsa dan menegakkan akidah.

Sesiapa saja yang berintegriti, sebagai contoh, pasti akan berasa ngeri dengan skandal 1MDB dan penyalahgunaan kuasa oleh Najib. Sebaliknya, Zahid mempertahankan beliau dan cuba menyembunyikan segala urusan tersebut.

Walaupun selepas Najib menghabiskan kesemua jalan rayuan undang-undang terhadap sabitan kesalahan beliau dan dipandu ke penjara untuk memulakan hukuman beliau, Zahid masih mempertahankan beliau.

Pada pandangan saya, itu menjadikan beliau terlibat dalam satu peristiwa yang paling keji dan tidak bermoral dalam sejarah kita. Ia menandakan beliau seorang lelaki yang tidak terganggu dengan rasuah berskala besar dan penyalahgunaan kuasa.

Apatah lagi, lelaki ini yang bercita-cita menjadi perdana menteri kita yang seterusnya sedang menghadapi 87 pertuduhan jenayah yang berbeza bagi rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Kira-kira 40 daripada pertuduhan tersebut ditolak baru-baru ini tanpa meminta beliau untuk membela diri, tetapi peguam negara merayu. Jadi, ia masih jauh daripada penyelesaian.

Apa-apa pun, beliau tahu jika didapati bersalah, beliau boleh dikenakan suatu hukuman penjara yang panjang. Ia antara alasan mengapa beliau bertegas untuk mengadakan pilihan raya awal walaupun beban besar akan dipikul rakyat memandangkan ia diadakan semasa musim monsun.

Jika Zahid menang, beliau akan melantik peguam negara yang seterusnya, peguam negara sama yang akan mendakwa beliau atas nama rakyat. Sedikit yang meragui jika perkara itu berlaku, kesemua pertuduhan terhadap beliau akan digugurkan secara segera atas alasan teknikal atau lain-lain?

Beliau menunjukkan niat sebenar apabila memberi amaran kepada rakan sekerja BN baru-baru ini jika mereka kalah, ramai lagi dalam kalangan mereka yang akan dipenjarakan.

Dan inilah alasan sebenar pilihan raya ini. Beliau tidak mempertahankan bangsa, agama dan negara; ini adalah untuk menyelamatkan diri sendiri dan kroni politik beliau.

Selepas berdekad pemerintahan Umno–BN, budaya politik kita menjadi terlalu permisif dan korup sehinggakan seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan pun boleh berpendapat beliau wajar diterima untuk duduk di Parlimen.

Kini, kita diminta untuk menyokong seorang lelaki yang tidak sepatutnya bertanding untuk jawatan awam memandangkan terdapat pertuduhan jenayah serius terhadapnya.

Satu hari yang sedih bagi Malaysia jika seorang lelaki seperti ini menjadi perdana menteri kita di Putrajaya.

Jadi, saya bertanyakan anda, adakah anda mahu melihat lelaki ini menjadi perdana menteri kita yang seterusnya?

Jika anda, seperti saya, berpendapat beliau tidak sesuai untuk jawatan yang paling penting daripada semua jawatan dipilih di negara kita, anda mempunyai kuasa untuk menghalang beliau dengan hanya menafikan Umno-BN undi anda di mana-mana bahagian pilihan raya anda berada.

Dan jangan berhenti di sini; ambil satu langkah yang selanjutnya dengan menyokong Tawfik Ismail dalam usahanya untuk mengalahkan Zahid di bahagian Parlimen Bagan Datuk.

Tawfik, seorang lelaki yang cekap dan baik, seorang lelaki yang berdiri teguh menentang rasuah, ketidakadilan dan sikap tidak bertoleransi, kini menentang kekuatan seluruh jentera Umno-BN.

Tawfik bertanding untuk kita semua; jangan biarkan beliau sendiri. Sila lakukan apa saja yang anda boleh – sokong beliau daripada segi kewangan, berkempen untuknya, menggalakkan keluarga dan rakan anda di Bagan Datuk untuk mengundinya.

Ini adalah masa kita. Kita boleh laksanakan suatu perubahan. Dan ia bermula dengan menolak Zahid dan Umno – BN secara tegas pada 19 November. – 7 November, 2022.

* Dennis Ignatius adalah bekas diplomat dan pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen