PKR mahu mencalonkan Shamsul Iskandar Md Akin di kawasan Parlimen Bagan Datuk mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata sumber parti.
Shamsul adalah penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, yang sebelum persempadanan semula untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikenali sebagai kerusi Bukit Katil.
“Ini antara usaha Pakatan Harapan untuk mengukuhkan asakan ke atas Perak,” kata sumber yang maklum tentang percaturan tersebut kepada The Malaysian Insight.
Shamsul yang dihubungi berkata beliau tidak maklum mengenai perkembangan ini.
“Saya tidak tahu tetapi saya sedia bertanding mengikut arahan parti. Bagaimanapun saya lebih cenderung untuk pertahankan kerusi sekarang (Hang Tuah Jaya),” katanya.
Dalam satu wawancara dengan Free Malaysian Today beberapa hari lepas, Shamsul dipetik berkata beliau percaya meletakkan ‘muka lama’ bertanding di kerusi yang disandang akan memudahkan kempen PKR pada PRU15.
Beliau menyebut faktor sudah lama berkhidmat dan dikenali masyarakat, berbanding calon ‘muka baharu’.
Shamsul juga sebelum ini wakil rakyat Bukit Katil, yang dimenanginya pada PRU13.
Malam tadi, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tambun sementara PH menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan yang akan ditawan pada PRU15.
Tambun disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Pada PRU14, PH menjadikan Johor sebagai negeri barisan hadapan.
PH menang Johor dan beberapa muka baharu juga terpilih ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Kerajaan PH di Johor bagaimanapun tumbang sama selepas percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menamatkan pentadbiran gabungan itu hanya 22 bulan di Putrajaya. – 21 Oktober, 2022.
Komen