Tiga penjuru untungkan Pakatan, kata Shamsul Iskandar


Mohd Farhan Darwis

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin berharap Pakatan Harapan bijak ambil peluang menangi hati pengundi memandangkan dua gabungan dalam kerajaan persekutuan tidak sehaluan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 November, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) yakin merampas semula Melaka susulan pertembungan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri 20 November ini, kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

PRN Melaka ini mengulangi pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15, ketika itu antara PH, BN dan PAS. PAS kemudian membentuk PN bersama Bersatu dan untuk kali pertama sejak Pilihan Raya Umum 1974 tidak bertanding dengan logonya sendiri.

“Kita lihat tiga penjuru itu berlaku, kerana dua penjurunya adalah (parti dalam) kerajaan Persekutuan yang sama.

“Barisan Nasional dengan Perikatan Nasional, kedua-duanya gabungan kerajaan di peringkat nasional sebagai kerajaan, tapi di peringkat negeri mereka berlaga sesama mereka,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata pertembungan antara BN dan PN memungkinkan undi pecah dan lunturnya keyakinan pengundi terhadap keupayaan dua parti itu untuk mentadbir Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 November, 2021.

Pertembungan antara BN dan PN memungkinkan undi pecah dan lunturnya keyakinan pengundi terhadap keupayaan dua parti itu untuk mentadbir negeri, tambahnya.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14, PH menang di enam kerusi negeri tetapi dengan jumlah undi yang lebih kecil berbanding jumlah undi bersama yang diperolehi calon BN dan PAS.

Enam kerusi itu ialah Gadek, Durian Tunggal, Kelebang, Duyong, Telok Mas dan Bemban.

Shamsul yang bertanding sebagai calon PH di kerusi DUN Paya Rumput berharap PH bijak mengambil peluang untuk jadi pilihan pengundi.

“Atas kertas dari segi kiraan memberikan kita kelebihan atas dua perkara, satu, berlakunya perpecahan undi dalam kalangan penyokong BN juga PN dan yang keduanya, ialah keyakinan rakyat.

“Ini penting kerana pengundi Melaka mereka merupakan pengundi bijak kerana PRU14 Melaka tidak ada dalam senarai negeri yang akan berlaku perubahan… tidak ada,” katanya.

Perikatan Nasional dan Barisan Nasional merupakan parti dalam kerajaan di peringkat persekutuan namun dalam pilihan raya Melaka kali ini mereka tidak sehaluan, malah sanggup bertelagah di semua 28 kerusi DUN negeri itu.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 November, 2021.

Melaka antara negeri yang dimenangi oleh PH dalam PRU14. Ia bagaimanapun diterajui semula oleh BN susulan percaturan politik pada hujung Februari, yang dikenali Langkah Sheraton, yang menjatuhkan kerajaan PH di Putrajaya dan empat negeri termasuk Johor, Perak dan Kedah.

Jelas Shamsul, perpecahan antara PN dan BN akan memberi kelebihan kepada PH tetapi pada masa sama, pengundi juga bijak dan tidak takut untuk menyatakan bantahan mereka.

“Saya berpendapat pilihan raya ini PH harus jadikan medan menggerakkan seluruh potensi jentera, idea dan manifesto supaya boleh mempengaruhi rakyat mengundi kita,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak mahu PH menganggap ringan cabaran BN dan PN.

“Setiap pilihan raya ada dinamika sendiri, setiap parti ada kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya.

Menurut Shamsul Pakatan Harapan dilihat ada peluang mengambil kesempatan akibat pertelingkahan antara Perikatan dan Barisan Nasional dalam pilihan raya Melaka kali ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 November, 2021.

PN, PH dan BN bertanding di semua 28 kerusi, dengan dua parti kecil Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) bertanding satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan Ibrahim Ali bertanding lima kerusi. 

Keseluruhannya 11 kerusi ditandingi tiga penjuru, sementara sembilan kerusi ditandingi empat penjuru, lima kerusi ditandingi lima penjuru, dan tiga kerusi mempunyai pertandingan enam penjuru.

Seramai 22 calon bebas juga menyertai PRN Melaka, yang ditetapkan pengundiannya pada 20 November. – 9 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen