Radzi Jidin wajar dikenakan tindakan, kata Shamsul Iskandar


Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya akan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said untuk memulakan usaha menggantung tugas Radzi sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2023.

AHLI Parlimen Putrajaya Dr Radzi Jidin perlu dikenakan tindakan atas kenyataannya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta keengganan beliau mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul sewaktu sesi penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya akan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said untuk memulakan usaha menggantung tugas Radzi sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen.

“Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara…Kesopanan dan Kesusilaan. Tindakan biadap Radzi yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut segala prosedur diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat termasuk meminta Perdana Menteri menjelaskan apa dimaksudkan dengan “pentadbiran Putrajaya” yang merujuk kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Jelas YB Putrajaya (Radzi) tersalah sangka kononnya ‘Putrajaya’ yang dimaksudkan adalah diri beliau. Yang Dipertua Dewan Rakyat seterusnya membuat keputusan menerima penjelasan itu berdasarkan Peraturan 99 iaitu Petua-petua Tuan Yang Dipertua.

“Sekiranya masih tidak berpuas hati YB Putrajaya boleh membuat usul namun arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak dihiraukan oleh beliau yang dikuasai emosi melampau hingga hilang sopan, hancur tatasusila dan mengganggu sesi penggulungan,” katanya.

Ketika sesi penggulungan itu semalam Radzi daripada Perikatan Nasional (PN) diarah keluar daripada Dewan apabila terus mempertikai keputusan Johari berhubung kenyataan Anwar yang dikatakan mencalar maruahnya dan berulang kali meminta Johari membuat keputusan supaya Anwar menarik balik kenyataannya.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kekecohan kira-kira 40 minit apabila berlaku pertikaman lidah antara beberapa ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan yang bangun serentak mempertahankan hujah masing-masing. – Bernama, 20 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen