Muda dijangka tukar kepimpinan lepas kalah teruk dalam PRN


Muda kalah di kesemua 19 kerusi ditandingi pada PRN enam negeri yang berakhir 12 Ogos lalu. – Gambar Facebook Muda, 19 Ogos, 2023.

MUDA mempercepatkan pemilihan kepimpinannya berikutan semua calonnya tewas dalam enam pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muda berkata keputusan itu dibuat oleh mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat semalam yang dihadiri pimpinan nasional dan negeri.

“Fokus utama mesyuarat ini adalah berkenaan prestasi Muda dalam PRN dan pengosongan jawatan utama serta pemilihan parti. 

“Muda juga menetapkan agenda post-mortem pada 26 Ogos 2023 yang akan disertai oleh semua pimpinan nasional, negeri dan calon-calon Muda,” kata kenyataan itu.

Muda kalah di kesemua 19 kerusi ditandingi pada PRN enam negeri yang berakhir 12 Ogos lalu.

Muda juga telah mengosongkan jawatan Ketua Penerangan yang dipegang oleh Luqman Long.

“Pemangku Baharu untuk jawatan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Muda juga telah menetapkan untuk menyegerakan pemilihan parti, lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

“Ini bertujuan untuk memberi nafas dan muka Baharu dalam usaha membina Muda yang lebih baik

“Ketetapan ini dibuat untuk menjaga kepentingan Muda sebagai sebuah parti politik yang mengangkat idea politik baharu untuk negara,” kata kenyataan itu lagi.

Muda turut menyampaikan penghargaan kepada semua pengundi yang melakasanakan tanggungjawab serta jenteranya dan ahli parti yang bertungkus lumus menjayakan PRN lalu. – 19 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen