Kelab penyokong ganti pembangkang Terengganu, kata MB


Diyana Ibrahim

Ahmad Samsuri berkata tidak ada masalah untuk semak dan imbang walau negeri itu tiada pembangkang. – Gambar Facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, 13 Ogos, 2023.

PROSES semak dan imbang dapat dilaksanakan melalui kelab penyokong kerajaan apabila tiada pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kata Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menteri besar penjaga itu berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mewujudkan kelab penyokong atau backbencher untuk tujuan itu.

Katanya kelab itu akan berperanan seperti pembangkang  memberi teguran dan cadangan kepada kerajaan bagi memastikan proses semak dan imbang terus berjalan.

“Ia seumpama pembangkang tapi peranan yang lebih positif. Jadi itu akan dirangka kerajaan negeri bagaimana untuk menjadikan backbencher ini peranan yang demikian.

“Saya rasa tidak ada masalah kena lihat dari sudut positif walaupun tidak ada pembangkang tapi kita masih boleh laksanakan proses semak dan imbang dalam kerajaan negeri,” katanya.

Beliau ditanya pemberita ekoran kemenangan Perikatan Nasional (PN) yang menyapu bersih semua kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) semalam.

Kemenangan PN itu menyebabkan DUN akan bersidang tanpa sebarang wakil pembangkang sepanjang penggal.

Ia susulan kekalahan teruk gabungan Pakatan Harapan (BN) dan Barisan Nasional (BN) yang gagal menang sebarang kerusi daripada keseluruhan 32 yang dipertandingkan.

Gabungan parti kerajaan perpaduan itu juga gagal merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang berlangsung serentak semalam. – 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen