Sertai DAP, Kit Siang cadang pada Muda


Alfian Z.M. Tahir

Calon parti Muda yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tewas di semua kerusi ditandinginya semalam. – Gambar Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 13 Ogos, 2023.

BEKAS pemimpin DAP Lim Kit Siang mencadangkan Muda menyertai DAP selepas parti itu tewas dalam semua kerusi ditandinginya pada pilihan raya negeri (PRN), semalam.

Namun beliau berkata ia terpulang kepada kepimpinan DAP dan Muda untuk memutuskannya.

“Saya nasihatkan Muda jangan tawar hati dan saya cadangkan untuk lihat kemungkinan untuk bergabung dengan DAP.

“Saya bukan buat tawaran rasmi DAP sebab saya dah bersara dari kepimpinan DAP.

“Ini hanya pendapat peribadi dan terserah kepada kepimpinan DAP serta Muda untuk putuskan perjalanan politik mereka,” katanya.

Semalam, Muda kalah di semua kerusi ditandinginya dalam PRN.

Pertembungan tiga penjuru di Sungai Kandis menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menang di kerusi itu.

Calon PN Wan Dzahanurin Ahmad menang 28,962 undi dengan majoriti tipis 167 undi di mana calon PH Zawawi Ahmad Mughni mendapat 28,759 undi. Calon Muda Afriena Shaqira mendapat 1,341 undi.

Kit Siang berkata beliau sudah menasihatkan Muda supaya tidak bertanding dalam pilihan raya ini namun beliau akui mengagumi idealisme calon walaupun kesemuanya hilang deposit.

“Pilihan raya di enam negeri itu  menjadi bencana besar bagi Muda, yang saya sudah nasihatkan supaya tidak bertanding.

“Ketika negara berdepan pilihan antara ‘Big Rights’ dan ‘Big Wrongs’, antara peluang untuk bangkit menjadi negara bertaraf dunia yang hebat atau terus dalam trajektori yang akan menyebabkan Malaysia menjadi berpecah, gagal dan negara korup, tiada alterntif lain,” katanya.

Beliau turut menempelak PN kerana gagal mencapai kemenangan ‘sapu bersih’ dalam enam pilihan raya negeri seperti yang diuar-uarkan oleh gabungan itu dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan Persekutuan.

“Pemimpin PN - PAS dan Bersatu yakin dengan keputusan 5-1, jika tidak 6-0 dan membentuk sekurang-kurangnya lima kerajaan negeri.

“Lebih penting lagi, PN bermegah kemenangan besar PN dalam enam pilihan raya negeri akan membawa kepada penggulingan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan, itu dah jadi cakap-cakap kosong semata-mata,” katanya lagi.

PN menang besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta berjaya mengambil alih kerusi majoriti Melayu di Selangor dari PH.

PN turut berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH di Selangor buat kali pertama dalam tempoh hampir 15 tahun. – 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen