Perancis siap sedia pindahkan rakyatnya dari Niger


Perancis memindahkan kira-kira 600 rakyatnya dari Niger susulan rampasan kuasa tentera di negara Afrika Barat itu. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2023.

PERANCIS merancang untuk memindahkan kira-kira 600 rakyatnya dari Niger susulan rampasan kuasa tentera di negara Afrika Barat itu dengan persiapan sedang dijalankan, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Kementerian Luar Perancis pada Selasa.

Protes menyokong rampasan kuasa berlaku di ibu negara Niger, Niamey pada hujung minggu.

Menurut laporan penunjuk perasaan turut berkumpul di hadapan kedutaan Perancis.

Ada di antara mereka dilaporkan memusnahkan plak kedutaan, memijaknya dan menggantikannya dengan bendera Niger dan Rusia. Paris mengutuk keganasan itu.

Pada Rabu minggu lalu, pegawai dari unit elit Jeneral Omar Tchiani menahan Presiden yang dipilih secara demokrasi Mohamed Bazoum dan mengisytiharkan beliau dilucutkan jawatan. Tchiani melantik dirinya sebagai pemimpin baharu pada Jumaat.

Tidak lama selepas Tchiani merampas kuasa sebagai presiden de facto, beliau menggantung Perlembagaan negara Afrika Barat itu dan membubarkan semua institusi perlembagaan.

Perancis mempunyai kira-kira 2,500 tentera ditempatkan di Niger serta di negara jiran Chad.

Niger baru-baru ini merupakan satu daripada rakan tempatan terakhirnya dalam memerangi keganasan di wilayah Sahel.

Niger menarik minat Perancis kerana simpanan uraniumnya. – Bernama, 2 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen