Pemimpin Afrika beri tempoh seminggu junta Niger serah kuasa


Menurut Ecowas, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kekerasan bagi merampas semula kuasa daripada junta di Niger.– Gambar EPA, 31 Julai, 2023.

PEMIMPIN Afrika pada Ahad memberi temph seminggu kepada junta Niger untuk melepaskan kuasa atau berdepan kemungkinan penggunaan kekerasan, dan mengenakan sekatan kewangan, selepas rampasan kuasa terbaru di wilayah Sahel.

Ia merupakan rampasan kuasa ketiga dalam tempoh beberapa tahun untuk menjatuhkan seorang pemimpin di Sahel, presiden yang dipilih Niger dan sekutu Barat, Mohamed Bazoum, dan wilayah itu kini dikuasai oleh tentera sejak Rabu.

Jeneral Abdorahahamane Tiani, ketua pengawal presiden yang berkuasa, telah mengisytiharkan dirinya sebagai ketua dan berkata tindakan itu adalah tindak balas kepada “kemerosotan keadaan keselamatan” yang dikaitkan dengan pertumpahan darah serta rasuah dan masalah ekonomi.

Bazoum adalah salah seorang daripada kumpulan presiden yang dipilih dan pemimpin pro-Barat di Sahel, yang mana sejak 2020 pemberontakan jihad turut mencetuskan rampasan kuasa di Mali dan Burkina Faso.

Bekas pemerintah kolonial Perancis dan Kesatuan Eropah telah menggantung kerjasama keselamatan dan bantuan kewangan kepada Niger berikutan rampasan kuasa itu, manakala Amerika Syarikat memberi amaran akan campur tangan.

Pada sidang kemuncak tergempar di Nigeria, blok serantau Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (Ecowas) menuntut Bazoum dikembalikan semula kuasa dalam masa seminggu.

Jika tidak, blok itu berkata ia akan mengambil “semua langkah perlu” untuk memulihkan perlembagaan.

“Langkah-langkah sedemikian mungkin termasuk penggunaan kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ketua pertahanan Ecowas akan mengadakan pertemuan pada Ahad.

“Tiada masa lagi untuk kami menghantar isyarat amaran… Sudah tiba masanya untuk bertindak,” kata presiden Nigeria dan pengerusi Ecowas,  Bola Tinubu. – AFP, 31 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen