21 maut serangan bas, lori di Niger


Pihak berkuasa Niger berkata pengganas Islam disyaki sebagai dalang dalam serangan terhadap sebuah bas dan lori yang mengakibatkan 21 orang maut pada Khamis. – Gambar AFP, 17 Mac, 2022.

PENGGANAS Islam disyaki dalang serangan terhadap sebuah bas dan lori di Niger yang mengakibatkan 21 nyawa terkorban di wilayah Tillaberi berhampiran Burkina Faso, kata sumber tempatan dan keselamatan pada Khamis.

“Serangan pengganas pada petang Rabu oleh lelaki bersenjata berat yang menaiki motosikal dan dalam kenderaan membunuh 19 orang yang menaiki bas, termasuk dua pegawai polis,” kata sumber keselamatan.

“Dua lagi terbunuh dalam serangan ke atas sebuah lori,” tambah sumber yang enggan dikenali itu. Mereka mati dalam keadaan rentung apabila loti itu dibakar.

Lima orang termasuk seorang anggota polis cedera dalam serangan ke atas bas itu, yang turut dibakar. Mereka dibawa ke ibu negara, Niamey, untuk rawatan, kata sumber itu.

Tujuh penumpang - empat wanita dan tiga lelaki - berjaya melarikan diri dari bas itu.

Serangan itu berlaku berhampiran pos sempadan Petelkole, 10 kilometer dari sempadan dengan Burkina, kata seorang pegawai tempatan.

Pada Oktober 2021, tiga pegawai polis terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan disyaki oleh pejuang jihad di pos sempadan Petelkole.

Tillaberi terletak di zon “tiga sempadan” titik kilat Niger, Burkina dan Mali, di mana kumpulan jihad yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Negara Islam di Sahara Besar beroperasi. – AFP, 17 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen