Niger terima 400,000 dos vaksin dari China 


Niger akan memulakan program vaksinasi pada 27 Mac.– Gambar EPA, 22 Mac, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan Niger pada Ahad memberitahu China telah menghantar 400,000 dos vaksin Sinopharm bagi membantu negara itu mengekang penularan Covid-19.

Kapal terbang kargo yang membawa vaksin berkenaan serta 300,000 kit ujian antigen, pelitup muka dan peralatan perlindungan peribadi, tiba di Lapangan Terbang Niamey, kata kementerian itu. 

Negara berkenaan akan memulakan program vaksinasi pada 27 Mac, kata kementerian dan menambah pihak berkuasa politik, petugas kesihatan, tentera dan anggota pasukan keselamatan serta golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas akan diberi keutamaan. 

Niger melaporkan 4,918 kes dengan 185 kematian akibat virus itu setakat ini.

Negara itu turut mengambil langkah drastik selepas mengesan kes pertama pada Mac 2020, menutup pintu sempadan, mengisytiharkan darurat, melaksanakan sekatan pergerakan serta menutup gereja dan sekolah. 

Beberapa langkah berkenaan bagaimanapun telah dibatalkan namun pintu sempadan masih ditutup. – AFP, 22 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen