INSIDEN ganas di penjara wanita di Honduras yang menyebabkan 46 orang terbunuh dipercayai berpunca daripada serangan oleh sekumpulan banduan yang disasarkan terhadap ahli kumpulan saingan mereka, kata polis Honduras pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Anggota disyaki geng Pandilla 18 dipercayai menyerang ahli kumpulan saingan mereka, Mara Salvatrucha atau dikenali MS-13 dengan memenjarakan sebelum membakar mereka, kata jurucakap polis Miguel Martínez dalam temu bual televisyen.
Seramai 23 tahanan wanita di Centro Femenino de Adaptacion Social (CEFAS) di Tamara, di pinggir Tegucigalpa rentung dalam kebakaran manakala yang lain mati akibat tikaman dan luka tembakan, kata jurucakap Kementerian Awam Yuri Mora.
Setakat ini, hanya 26 daripada mangsa telah dikenal pasti.
Sekurang-kurangnya 12 wanita dipercayai suspek sedang disiasat, kata polis. Peranan pengawal dan kakitangan pentadbiran juga sedang diteliti.
Presiden Hounduras Xiomara Castro menerusi akaun Twitternya menyifatkan jenayah itu sebagai “pembunuhan keterlaluan”.
Castro juga mengumumkan Menteri Keselamatan Ramon Sabillon akan digantikan dengan Gustavo Sanchez dari perkhidmatan Polis Negara susulan insiden itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat insiden keganasan di beberapa penjara di Honduras.
Kerajaan Castro baru-baru ini melantik suruhanjaya khas untuk menangani krisis itu.
Menurut aktivis hak asasi manusia, tujuh wanita hamil serta 22 kanak-kanak dipercayai tinggal di penjara itu dan setakat ini nasib mereka tidak diketahui. – Bernama, 22 Jun, 2023.
Komen