LEBIH 2,000 pendatang pada Sabtu terpaksa melupakan hasrat ke Amerika Syarikat (AS) selepas Guatemala mengancam mengusir kerana mereka mungkin menyebarkan Covid-19.
Kumpulan itu, yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Honduras yang berangkat pada Khamis lalu dari San Pedro Sula, meminta pihak berkuasa tempatan membantu mereka pulang, kata pejabat presiden Guatemala itu kepada media berita.
Seorang wartawan AFP melihat ada yang menaiki trak tentera untuk perjalanan pulang.
Tetapi beberapa kumpulan kecil berkata mereka tetap bertekad untuk ke AS bagi melepaskan diri daripada kemiskinan dan keganasan di negara asal mereka.
Pada Khamis, Presiden Guatemala Alejandro Giammattei memerintahkan pelarian ditahan dan dihantar pulang. Namun, beliau menggesa mereka pulang secara sukarela.
“Di tengah keadaan darurat kesihatan sekarang, mereka bukan sahaja gagal menghormati langkah kawalan memasuki negara ini tetapi juga langkah kesihatan yang ditetapkan untuk melindungi warga negara kita,” katanya.
Pegawai Guatemala berkata kira-kira 3,000 orang pada awalnya melintasi sempadan tanpa mengemukakan ujian Covid-19, yang diperlukan untuk warga asing yang memasuki negara ini. Ramai tidak memakai pelitup muka.
Giammattei berkata sekumpulan besar pelarian Honduras menceroboh ke negara itu kira 300km timur laut dari Bandar Guatemala.
Kumpulan itu berpisah sekali di Guatemala, dengan kumpulan lebih besar mengambil jalan utara menuju Mexico dan yang lebih kecil mengikuti jalan barat daya.
Mexico mengerahkan tentera dan ejen imigresen di sempadan untuk menyekat kumpulan itu.
Beberapa tahun kebelakangan ini, ribuan migran Amerika Tengah yang melakukan perjalanan dalam kumpulan besar menyeberang ke Mexico, dengan tujuan untuk sampai ke sempadan AS.
Selepas Trump mengancam Mexico dengan tarif AS yang tinggi jika gagal menahan lonjakan migran tanpa dokumen, para pegawai Mexico mengerahkan sekitar 26,000 tentera sempadan.
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, berusaha mengekalkan hubungan baik dengan Trump walaupun retorik anti-Mexico pemimpin AS itu. – AFP, 4 Oktober, 2020.
Komen