ENAM banduan wanita didakwa dibunuh oleh anggota geng di sebuah penjara wanita berhampiran ibu negara Honduras, Tegucigalpa, kata Institut Penahanan Nasional pada Ahad.
Pembunuh memecah masuk melalui pagar dan bumbung sebuah bangunan di penjara terletak di Tamara, 10km ke utara Tegucigalpa, “untuk pergi ke gimnasium di mana enam tahanan tinggal dan membunuh mereka,” kata INP.
Seorang banduan sebelum itu mengalih perhatian dengan menyalakan api di asrama didiami dua tahanan yang dikuarantin kerana pandemik koronavirus sedang tidur, di bangunan yang menampung 1,300 banduan.
Anggota bomba memadamkan api tetapi dua wanita berkenaan cedera.
Pasukan keselamatan “mengadakan semula perintah dan kawalan” sebelum memulakan siasatan, kata INP.
Beberapa banduan menerbitkan rakaman audio di media sosial yang menyalahkan kejadian itu terhadap ahli geng.
Anggota geng masuk ke “taman asuhan kanak-kanak, bahkan tidak menghormati kanak-kanak kerana berkata mereka adalah MS-13,” kata seorang wanita, merujuk kepada kumpulan penjenayah Mara Salvatrucha yang aktif di Amerika Utara dan Tengah.
“Bila mereka mahu, mereka datang dan campak batu ke arah kami dan beritahu akan membunuh kami, yang mereka akan membakar kami. Kami sudah letih dan pengarah tidak melakukan apa-apa,” tambah wanita itu.
Presiden Persatuan Tahanan, Delma Ordonez mengadu kepada pihak berkuasa yang kuarantin koronavirus menimbulkan masalah psikologi di kalangan tahanan.
Sekurang-kurangnya seorang tahanan meninggal dunia akibat Covid-19 di Honduras, yang melaporkan 20 kes dari 30 penjaranya yang menahan lebih 21,000 banduan.
Negara ini mencatatkan lebih 3,700 kes dan 174 kematian. – AFP, 25 Mei, 2020.
Komen