Penting siasat kes lama tetapi bukan untuk balas dendam, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Prof Dr Edmund Terence Gomez berkata adalah wajar kes lama disiasat bagi mendapatkan semula wang yang dicuri daripada dana kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2023.

TIDAK ada salahnya kerajaan membuka dan menyiasat kes lama rasuah dan salah guna kuasa, kata kumpulan anti rasuah.

Mereka berkata adalah penting untuk menyiasat pihak yang didakwa melakukan kesalahan bagi mendapatkan semula dana kerajaan yang dirompak.

Malah katanya mereka yang berkuasa 10 hingga 20 tahun lalu tidak harus dibebaskan untuk mendapatkan semula wang yang dicuri daripada tabung kerajaan. 

“Seperti yang dilaporkan dalam Kertas Pandora, kes yang berlaku 10-20 tahun lalu terdapat sejumlah besar wang yang disimpan dalam akaun rahsia dan ‘shell company’.

“Ada kebarangkalian wang itu datang daripada tabung kerajaan dan sehingga kini tiada sebarang pendedahan. Kita perlu mendapatkan semula wang itu, pulangkan kepada negara terutamanya ketika kita berdepan krisis ekonomi.

“Adalah wajar kes itu disiasat,” kata Pengerusi Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Prof Dr Edmund Terence Gomez.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menyiasat seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan berhubung dakwaan penyelewengan dana negara berjumlah RM2.3 bilion.

Dakwaan salah laku itu dilaporkan berlaku pada 1990-an.

Menurut laporan berita, siasatan itu berkaitan dengan dokumen yang didedahkan oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (dipanggil Kertas Pandora) berhubung transaksi yang dijalankan di pusat kewangan luar pesisir.

Pegawai antirasuah berkata siasatan itu tertumpu kepada pembelian dan pemilikan saham syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi.

Orang dalam SPRM berkata langkah itu didalangi oleh bekas menteri kanan tersebut.

Terdahulu pada Februari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata beberapa individu yang dinamakan dalam Kertas Pandora sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana.

Beliau menambah siasatan sedang dijalankan dan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan dari luar negara.

Gomez menegaskan siasatan juga mesti melibatkan individu yang sedang berkhidmat dalam kerajaan.

Tambahnya, kerajaan juga perlu meneliti skandal yang didakwa melibatkan bekas orang kuat Sarawak Taib Mahmud dan keluarganya.

“Terdapat nama lain yang disebut dalam Kertas Pandora. Antaranya ialah William Leong dan Tengku Zafrul Abdul Aziz. Mereka juga mesti disiasat kerana nama mereka disebut,” katanya merujuk kepada ahli Parlimen dan menteri kabinet semasa.

“Nama lain ialah Hanifah Taib - anak perempuan Taib Mahmud. Terdapat dakwaan serius tentang rasuah yang menyelubungi keluarga Taib tetapi sehingga kini kita melihat tiada apa yang berlaku.

“Tiada siasatan terhadap orang seperti dia atau Taib,” tambahnya.

Taib adalah ketua menteri paling lama berkhidmat di Sarawak dan berita mengenai dakwaan kesalahannya didokumentasikan dengan baik oleh pelbagai agensi antarabangsa seperti Bloomberg.

Anak perempuannya Hanifah dilantik sebagai timbalan menteri ekonomi dan namanya turut disebut dalam Kertas Pandora.

Jangan mempolitikkannya

Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) pula menggesa kerajaan supaya tidak mempolitikkan siasatan ini.

Pengerusinya Halim Ishak berkata sebarang dakwaan salah laku perlu disiasat tetapi tanpa menjadikannya sebagai isu politik.

“Janganlah kita jadikan ini perkara politik. Setiap skandal, baru atau lama, mesti ditangani. Mesti tidak ada yang berselindung.

“Tetapi kita perlu ikhlas, tidak ada dendam dalam melakukan ini dan ia juga tidak boleh bermusim, memerangi rasuah adalah perjuangan berterusan,” kata bekas komando polis itu.

Abdul Razak Ismail dari Parti Hijau bagaimanapun berkata adalah lebih baik kerajaan memberi tumpuan kepada kes baharu.

Katanya beliau sudah pun membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dalam kontrak untuk merobohkan dan membina semula stadium Shah Alam di Selangor tetapi tiada apa yang berlaku setakat ini.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus memulakan sesuatu yang baru kerana kembali kepada kes lama boleh dilihat sebagai dendam politik. Banyak kes berita yang boleh kita tengok.

“Saya bercakap mengenai dakwaan rasuah melibatkan kompleks stadium baharu di Selangor tetapi perkara itu tidak mendapat perhatian.

“Saya boleh faham jika kes itu berusia beberapa tahun tetapi kes 20 tahun itu terlalu lama. Kes-kes baharu memerlukan lebih perhatian,” kata bekas anggota Otai Reformis itu. – 1 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen