Keputusan bersihkan Azam Baki membimbangkan, kata badan pemikir


Ravin Palanisamy

Badan pemikir Ideas hari ini berkata perlu buat siasatan menyeluruh terhadap dakwaan salah laku pemilikan saham korporat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, bukan hanya berdasarkan penjelasannya atau satu mesyuarat sahaja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Januari, 2022.

KEPUTUSAN Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki daripada salah laku pemilikan saham korporat membimbangkan, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Badan pemikir itu berkata LPPR buat kerja separuh masak apabila membersihkan nama ketua agensi antirasuah itu hanya berdasarkan penjelasan Azam sendiri.

“Kami bimbang apabila keputusan untuk membebaskan ketua pesuruhjaya SPRM adalah berdasarkan kepada satu mesyuarat sahaja, tanpa penyiasatan menyeluruh. 

“Pada pandangan kami, jika kesimpulan itu hanyalah berdasarkan penjelasan oleh Azam Baki, maka LPPR tidak menjalankan tugas dengan betul dan hal ini bukan satu tindakan contoh yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah organisasi yang ditugaskan sebagai badan utama untuk mengawasi SPRM,” kata Ideas dalam satu kenyataan.

Terdahulu pada sebelah petang, LPPR membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku berhubung dakwaan pemilikan saham korporat.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang berkata ketua agensi antirasuah itu telah memberi penjelasan kepada lembaga mengenai perkara tersebut.

Azam menjelaskan pembelian saham tersebut dibuat oleh adiknya Nasir Baki pada 2015 menggunakan akaunnya, kata Abu Zahar.

Abu Zahar berkata pembelian saham terbabit dibuat melalui saham terbuka, yang kemudian dipindahkan semula kepada Nasir pada tahun yang sama.

Sidang media hari ini adalah yang pertama sejak isu saham ini dibangkitkan oleh bekas ahli panel SPRM Edmund Terence Gomez kepada Abu Zahar, dan kepada Borhan Dolah, yang mempengerusikan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Gomez meletak jawatan daripada panel Borhan bulan lalu sebagai membantah tiadanya tindakan selepas beliau mengutus surat kepada kedua-dua pengerusi beberapa kali mengenai kebimbangan pegangan saham korporat Azam.

Ideas menggesa LPPR menghuraikan secara telus proses bagaimana kesimpulan tersebut dicapai.

“Malah, amat penting untuk badan tersebut mendedahkan dasar atau tatakelakuan yang digunapakai dalam membersihkan nama ketua pesuruhjaya SPRM daripada mana-mana salah laku. 

“Lebih penting lagi, LPPR perlu menjelaskan kepada masyarakat awam sama ada Azam telah memenuhi kriteria pengisytiharan harta berdasarkan kepada pekeliling kerajaan bertajuk Surat Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2002 (Pemilikan dan Perisytiharan Harta oleh Pegawai Awam)’ yang memerlukan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka,” katanya.

Terdapat peraturan yang mengawal pemilikan saham korporat oleh penjawat awam iaitu Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang menyatakan penjawat awam termasuk pegawai atasan boleh memegang saham korporat tetapi perlu mengisytiharkan harta mereka setiap lima tahun.

Terdapat juga Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2002 – Pemilikan dan Pengisytiharan Harta oleh Pegawai Awam yang menghuraikan dengan lebih lanjut seksyen 10 Akta di atas. Ia memerlukan semua pegawai awam mengisytiharkan secara bertulis semua harta yang dimiliki mereka, suami atau isteri atau anak-anak mereka, atau dipegang oleh mana-mana orang bagi pihak mereka atau bagi pihak isteri atau suami atau anak-anak mereka kepada ketua jabatan masing-masing.

Pekeliling itu juga menyatakan pegawai awam dihalang memiliki lebih daripada RM100,000 saham dalam mana-mana syarikat. – 5 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen