Azam Baki bersih daripada salah laku, kata Abu Zahar


Alfian Z.M. Tahir

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bersih daripada sebarang salah laku berhubung dan pembelian saham syarikat korporat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Januari, 2022.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki bersih daripada sebarang salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat, kata Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang pada sidang media hari ini berkata isu pemilikan saham dan perkara berkaitan telahpun dijelaskan oleh Azam pada 24 November lalu, dan lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan beliau. Azam dipanggil bagi menjelaskan pembelian saham syarikat korporat yang telah mencetus presepsi negatif terhadap SPRM.

Dalam pertemuan itu, Azam menjelaskan pembelian saham tersebut dibuat oleh adiknya Nasir Baki pada 2015 menggunakan akaunnya, kata Abu Zahar.

Abu Zahar berkata pembelian saham terbabit dibuat melalui saham terbuka, yang kemudian dipindahkan semula kepada Nasir pada tahun yang sama.

“Setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan ke atas saham-saham berkenaan.

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Abu Zahar selanjutnya berkata LPPR menolak gesaan supaya suruhanjaya siasatan diraja diadakan, namun perkara itu tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sidang media hari ini pertama kali diadakan selepas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Edmund Terence Gomez meletak jawatan pada 27 Disember lalu.

Pakar ekonomi itu meletak jawatan sebagai membantah sikap tidak peduli Pengerusi PPPR Borhan Dollah dan Abu Zahar mengenai dakwaan integriti serta kredibiliti SPRM dan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Gomez menulis tiga surat berasingan masing-masing kepada Borhan dan Abu Zahar dalam tempoh sebulan sejak pertengahan November meminta panel penasihat SPRM membincangkan isu berkenaan.

Mengulas perkara itu, Abu Zahar menegaskan beliau tidak menerima sebarang surat dari Gomez dan menyarankan supaya pakar ekonomi itu membuat laporan polis jika masih tidak berpuas hati dengan penjelasan LPPR. – 5 Januari, 2022. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen