Gomez cabar Abu Zahar dedah minit mesyuarat 24 November


Edmund Terence Gomez berkata pendedahan itu perlu bagi menyokong kenyataan Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang pada sidang media semalam, yang membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

EDMUND Terence Gomez hari ini mencabar Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang mendedahkan minit mesyuarat lembaga itu dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki pada 24 November lalu.

Bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM itu berkata pendedahan itu perlu bagi menyokong kenyataan Abu Zahar pada sidang media semalam, yang membersihkan nama Azam daripada salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat.

Gomez, yang meletak jawatan ahli PPPR pada 27 Disember lalu sebagai bantahan kepada sikap tidak peduli Pengerusi PPPR Borhan Dollah dan Abu Zahar mengenai dakwaan terhadap Azam, juga mempersoalkan mengapa beliau sebagai individu yang membangkitkan perkara itu tidak dipanggil menyertai mesyuarat tersebut.

“Mengapa lembaga penasihat tidak panggil saya untuk membentang dan membincangkan perkara ini kepada mereka seperti yang saya sarankan?

“Dan mengapa Abu Zahar tidak segera memanggil sidang media selepas mesyuarat pada 24 November, untuk maklumkan kepada umum apa yang telah berlaku, termasuk menjelaskan mengapa Azam Baki dibersihkan daripada daripada tuduhan serius ke atasnya?” kata pakar ekonomi itu dalam kenyataan hari ini.

Gomez sebelum ini berkata beliau menulis tiga surat berasingan masing-masing kepada Borhan dan Abu Zahar dalam tempoh sebulan sejak pertengahan November meminta panel penasihat SPRM membincangkan dakwaan terhadap Azam.

Kenyataan Gomez hari ini mengulas kenyataan Abu Zahar pada sidang media petang semalam, yang membersihkan Azam daripada daripada sebarang salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat.

Abu Zahar berkata pada mesyuarat dengan LPPR 24 November lalu Azam saham tersebut dibeli adiknya Nasir Baki pada 2015 menggunakan akaun dagangan sahamnya. Pembelian saham terbabit dibuat melalui saham terbuka, yang kemudian dipindahkan semula kepada Nasir pada tahun yang sama. – 6 Januari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen