Tubuh jawatankuasa bebas siasat Azam Baki, kata perunding SPRM


Jufitri Joha yang menggesa tubuh jawatankuasa bebas siasat Azam Baki turut menganggap kenyataan pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang tidak memadai untuk bersihkan nama ketua pesuruhjaya agensi antirasuah itu. – Gambar EPA, 7 Januari, 2022.

SEORANG lagi perunding agensi antirasuah tampil menggesa agar jawatankuasa siasatan bebas ditubuhkan segera untuk meneliti kes pemilikan saham ketua pesuruhjayanya Azam Baki.

Jufitri Joha yang juga presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) juga menggesa agar jawatankuasa bebas itu dipengerusikan tokoh berwibawa seperti bekas hakim.

Beliau juga menganggap kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang tidak memadai untuk membebaskan Azam dari tuduhan itu.

“Justeru jawatankuasa ini mesti ditubuhkan segera bagi memberikan keadilan kepada (Azam) selain menangani persepsi awam yang tidak terkawal terhadap integriti dan imej SPRM. 

“Ia juga mampu menangani tohmahan bahawa isu ini merupakan usaha terancang pembunuhan karakter (Azam),” kata anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) itu.

Seorang lagi anggota PPPR, Terence Gomez meletak jawatan pada 27 Disember kerana kecewa dakwaan melibatkan Azam dan integriti SPRM tidak dipedulikan.

Seterusnya Abu Zahar Ujang pada Rabu menjelaskan, akaun untuk transaksi saham berkenaan digunakan oleh adik kepada Azam.

LPPR juga mengumumkan Azam bersih daripada sebarang salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat itu.

Azam bakal berdepan siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti berhubung ekuiti tersebut.

Ia berhubung 2.15 juta unit dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.

Tindakan panel penasihat SPRM membebaskan Azam turut diselar seorang bekas pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau menegaskan lembaga itu tiada kuasa menyiasat agensi itu sendiri mahupun pegawainya. – 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen