HAMPIR 9,000 singa laut, penguin, memerang dan cetacea (spesies yang merangkumi ikan paus, dolfin, dan ikan lumba-lumba) kecil mati selepas terkena wabak selesema burung yang melanda pantai utara Chile, kata perkhidmatan perikanan negara Amerika Selatan itu semalam.
Sejak awal 2023, lebih 7,600 singa laut, 1,186 penguin Humboldt – spesies terancam yang hanya membiak di Chile dan Peru – dan beberapa memerang dan ikan lumba-lumba ditemui mati di sepanjang pantai, kata perkhidmatan Sernapesca dalam satu kenyataan.
Penyakit itu terdapat di 12 daripada 16 wilayah Chile, tambahnya, dan mengumumkan pengaktifan “protokol pengawasan” di sepanjang pantai, termasuk menanam bangkai terbabit dalam usaha untuk mencegah penyebaran virus selanjutnya.
Sejak akhir 2021, salah satu wabak selesema burung global paling teruk pernah direkodkan menyaksikan puluhan juta ayam dimusnahkan, burung liar mati secara besar-besaran dan peningkatan jumlah jangkitan dalam kalangan mamalia di beberapa negara.
Di Kemboja, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun jatuh sakit pada pertengahan Februari akibat demam, batuk dan sakit tekak, dan meninggal dunia akibat virus selesema burung H5N1, menurut kementerian kesihatan di sana.
Bapanya juga diuji positif, tetapi pihak berkuasa kesihatan Kemboja menolak penularan dari manusia ke manusia.
Jarang sekali selesema burung berjangkit kepada mamalia - dan lebih jarang lagi manusia dijangkiti virus yang boleh membawa maut.
Tiada rawatan untuk penyakit ini, yang sering membawa maut kepada burung liar dan ternakan.
Pada Mac, Chile merekodkan kes pertama jangkitan manusia, pada seorang lelaki berusia 53 tahun.
Di tempat lain di Amerika Selatan, Argentina, Brazil, Paraguay dan Peru - dengan ratusan kematian singa laut - juga melaporkan kes. – AFP, 26 Mei, 2023.
Komen