Ahli Parlimen Chile tolak rang undang-undang pembaharuan cukai kerajaan


Presiden Chile Gabriel Boric mahu tambahan 3.6% daripada KDNK untuk membiayai pengembangan sistem keselamatan sosial, dengan perbelanjaan yang lebih besar untuk kesihatan, pendidikan dan pencen.– Gambar EPA, 9 Mac 2023.

AHLI Parlimen Chile menolak rang undang-undang cukai yang dibentangkan oleh kerajaan Presiden Gabriel Boric, semalam yang dilihat sebagai tonggak program pembaharuan sosial pemimpin berhaluan kiri itu.

Kerajaan Boric mahu tambahan 3.6% daripada KDNK untuk membiayai pengembangan sistem keselamatan sosial, dengan perbelanjaan yang lebih besar untuk kesihatan, pendidikan dan pencen.

“Kami fikir ini adalah berita buruk untuk negara,” kata Menteri Ekonomi Mario Marcel.

Rang undang-undang itu mendapat 71 menyokong, 73 undi menentang, dan tiga berkecuali di dewan rakyat Chile.

Projek itu mencadangkan penstrukturan semula cukai pendapatan, pelepasan cukai, dan royalti perlombongan baharu.

Kerajaan kini perlu menunggu setahun lagi sebelum membentangkan inisiatif baharu.

“Apa yang kita lihat dalam undian ini ialah ideologi mengatasi pragmatisme, ideologi mengatasi dialog,” kata Marcel.

Projek itu kebanyakannya ditolak oleh pembangkang berhaluan kanan tetapi kerajaan juga dihalang oleh ketiadaan tiga ahli Parlimen berhaluan kiri semasa pengundian yang boleh menyebabkan sebaliknya.

Rancangan Boric telah mendapat pujian daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang berkata dalam laporan terakhirnya mengenai Chile bahawa negara itu “memerlukan pembaharuan untuk meningkatkan produktiviti, perlindungan sosial dan hasil cukai.”

Laporan itu berkata hasil cukai Chile hanya 21% daripada KDNK tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan perbelanjaan.

Menurutnya pembaharuan Boric akan membantu meningkatkan hasil cukai kepada sesuatu yang lebih hampir dengan purata di Amerika Latin dan negara-negara OECD, masing-masing 28 dan 34%. – AFP, 9 Mac 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen