2 maut dalam rompakan lapangan terbang Chile


Kumpulan penjenayah terbabit menyasarkan wang tunai AS$32.5 juta yang sedang dipindahkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez, Chile.– Gambar Facebook, 9 Mac, 2023.

SEORANG pekerja penerbangan dan seorang perompak maut dalam satu kejadian berbalas tembak pada Rabu dalam kejadian rompakan di lapangan terbang antarabangsa di Santiago, Chile, kata pegawai.

Sekumpulan perompak bersenjata menyerang ketika pekerja sedang memindahkan wang tunai AS$32.5 juta ke dalam sebuah trak perisai di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez.

“Kargo berharga tiba dengan pesawat LATAM dari Miami yang akan dibawa oleh syarikat Brinks (sekuriti), yang mana subjek menceroboh masuk ke kawasan itu dan telah dihalang oleh pegawai keselamatan,” kata pendakwa raya Eduardo Baeza, yang mengetuai siasatan kes itu.

Perompak telah memasuki lapangan terbang dengan tiga kenderaan pada awal pagi, memecah pintu pagar dan menuju ke kawasan kargo.

Kumpulan penjenayah itu kemudiannya berbalas tembakan dengan petugas keselamatan menyebabkan salah seorang daripada mereka dan seorang petugas keselamatan, Claudio Villar Rodriguez, 45, terbunuh.

Setelah rompakan itu gagal, kumpulan penjenayah berkenaan melarikan diri dan membakar dua daripada kenderaan mereka di lebuh raya berhampiran. 

Operasi memburu kumpulan itu kini giat dijalankan. 

Presiden Gabriel Boric berikrar akan membawa penjenayah terbabit ke muka pengadilan. 

“Kita akan buru… mereka yang membahayakan nyawa rakan senegara kita,” katanya pada satu majlis di istana presiden.

Pihak polis, tambahnya, “mempunyai sokongan penuh daripada kami”. – AFP, 9 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen