CHILE mengisytiharkan bencana di beberapa wilayah selepas gelombang haba mencetuskan kebakaran hutan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban, kata pihak berkuasa pada Jumaat.
Lebih 100 rumah terjejas dan 47,000 hektar hutan musnah sejak kebakaran berlaku pada Rabu.
“Kami mahu mengumumkan terdapat 13 kematian secara keseluruhan, 11 di perbandaran Santa Juana,” kata ketua agensi bencana nasional Senaprad, Mauricio Tapia.
Sementara itu dua anak kapal sebuah helikopter yang sedang memadamkan kebakaran turut terbunuh dalam nahas pada petang Jumaat, kata menteri pertanian Chile Esteban Valenzuela.
“Saya sangat sedih dengan nahas helikopter yang mengorbankan juruterbang dan seorang mekanik yang bekerja untuk memadamkan kebakaran” di wilayah La Araucania, kata Valenzuela.
Tambah Tapia juruterbang helikopter berkenaan adalah warga Bolivia dan mekanik adalah rakyat Chile.
Jumlah kematian termasuk sekurang-kurangnya empat orang awam dan seorang anggota bomba yang dilaporkan terbunuh sebelum ini.
Kerajaan mengisytiharkan bencana di wilayah Nuble dan Biobio, tetapi kebakaran turut menjejaskan wilayah Maule dan La Araucania.
Presiden Gabriel Boric memutuskan untuk menangguhkan percutiannya bagi melawat kawasan yang terjejas, yang mana terdapat 204 kebakaran aktif.
Daripada jumlah itu, 56 dianggap di luar kawalan.
Menteri Dalam Negeri Carolina Toha berkata empat orang awam itu meninggal dunia di wilayah Biobio.
Tambahnya, dua daripada mereka maut apabila kebakaran merebak ke jalan yang mereka lalui, manakala dua lagi maut dalam kemalangan kereta, mungkin ketika cuba melarikan diri dari api yang marak.
Pihak berkuasa kemudian berkata seorang anggota bomba turut terbunuh.
Sementara itu perkhidmatan pencegahan dan tindak balas bencana negara Senapred dan perbadanan hutan negara Conaf berkata sembilan orang cedera, termasuk lapan anggota bomba.
Kira-kira 2,300 anggota bomba dan 75 pesawat terlibat dalam operasi memadam kebakaran. – AFP, 4 Februari, 2023.
Komen