Sarawak digesa jalin kerjasama dengan Sabah berhubung pusat timbang tara


Desmond Davidson

Adun Ba Kelalan Baru Bian berkata kerjasama dengan Sabah untuk menubuhkan Pusat Timbang Tara dan Pengantaraan Antarabangsa Borneo akan membantu Sarawak berhubung autonominya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2023.

BEKERJASAMA dengan Sabah mengenai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Borneo (BICAM) adalah pilihan yang lebih baik untuk Sarawak daripada membiayai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang berpangkalan di semenanjung dan mengendalikan cawangan di negeri itu, kata Adun Ba Kelalan, Baru Bian.

Dalam perbahasannya di sidang DUN hari ini, Baru berkata beliau dimaklumkan kerajaan Sarawak sudah pun berbincang dengan AIAC mengenai penubuhan cawangan itu.

Malah katanya, kerajaan negeri telah mengenal pasti bangunan untuk kegunaan cawangan itu dan pihaknya juga bersedia memberikan geran tahunan kepada AIAC untuk penubuhan, penyelenggaraan dan operasi cawangan itu.

BICAM, yang diketuai oleh ketua hakim Sabah dan Sarawak yang telah bersara David Wong dan yang mempunyai pejabat di pusat konvensyen antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu, “lebih daripada bersedia untuk datang ke Sarawak dan bekerjasama dengan kami”, kata Baru.

Buat masa ini ia disokong dan dibiayai oleh kerajaan Sabah.

Bagaimanapun, Baru berkata BICAM menawarkan Sarawak, antara lain, kuasa membuat keputusan yang sama, jawatan pengerusi ganti dan perkongsian hasil.

“Dalam semangat MA63, pilihan yang lebih baik adalah untuk kita bekerjasama dengan BICAM,” katanya merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963.

“Pemimpin dan aktivis sosial kita kini memperjuangkan autonomi Sarawak malah kemerdekaan. Menteri-menteri kita mendesak untuk menurunkan kuasa daripada kerajaan pusat kepada negeri-negeri Borneo.

“Berkongsi dengan Sabah dalam penubuhan BICAM akan menjadi satu langkah penting dalam penegasan autonomi kita dari Malaysia Barat,” kata Baru.

Beliau berkata selain itu, Sarawak akan mendapat lebih banyak faedah terutamanya dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan dan aktiviti ekonomi serta pelaburan yang dijangkakan.

Beliau berkata BICAM sudah pun berbincang dengan rakan sejawatan Nusantara mereka mengenai kerjasama masa depan.

“Memiliki pusat timbang tara dan pengantaraan kami sendiri akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur di rantau ini.”

Baru, yang berkata beliau menyokong langkah untuk mempromosikan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di Sarawak dan untuk menggalakkan serta memupuk pengamal ADR di kalangan rakyat Sarawak, mempersoalkan berapa banyak manfaat yang akan dibawa kepada pengamal ADR di negeri itu jika ia bergantung kepada AIAC.

“Apakah kuasa membuat keputusan yang akan kita ada? Adakah hasil daripada operasi cawangan itu akan diambil oleh Ibu Pejabat AIAC atau disimpan oleh cawangan Sarawak untuk kegunaan yang difikirkan sesuai?” soalnya. – 18 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen