Kuasa ambil tanah buka peluang eksploitasi penduduk asli Sarawak, kata Baru Bian


Desmond Davidson

KUASA yang diberi kepada Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah untuk membuat pemerolehan wajib tanah hak adat anak negeri (NCR) Sarawak akan membuka kepada lebih banyak eksploitasi terhadap peribumi.

Adun Ba’kelalan Baru Bian menyuarakan bantahan terhadap Seksyen 13 Rang Undang-undang (RUU) untuk menubuhkan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah itu, menyifatkan peruntukan itu sebagai tidak adil.

Seksyen 13 memperuntukkan pengambilan wajib tanah untuk pembangunan oleh lembaga sekiranya pemilik tanah enggan memberikan kebenaran secara bertulis.

Selepas pengambilan tanah secara paksa oleh lembaga, hak adat asal pemilik kemudiannya dipadamkan mengikut seksyen 5 Kanun Tanah Sarawak, dan tujuan pengambilalihan itu dianggap sebagai “tujuan awam”.

Baru, yang juga aktivis hak tanah anak negeri, berkata dalam banyak kes di mana seksyen 5(3) (4) kanun tanah digunakan untuk memadamkan hak adat anak negeri ke atas tanah adat anak negeri untuk tujuan awam, pemilik tanah tidak dirujuk dan tidak diberi peluang untuk menyampaikan maklum balas mereka terhadap pengambilalihan tersebut.

“Dalam kebanyakan kes pemilik tanah asli hanya tahu setelah sekian lama selepas proses pengambilalihan telah diwartakan,” katanya kepada DUN Sarawak.

Baru juga berkata dalam kes di mana kerajaan memperoleh tanah secara paksa, pemilik tanah akan “kehilangan tanah NCR selama-lamanya”.

“Bagi orang peribumi Sarawak, tanah adalah kehidupan. Ini merupakan satu kerugian yang besar bukan sahaja kepada generasi sekarang tetapi kepada generasi akan datang kerana generasi akan datang mempunyai hak ke atas tanah adat tersebut juga.

“Hak ke atas tanah-tanah NCR ini diperoleh oleh nenek moyang mereka, sama ada melalui pewarisan, penerokaan, atau pendudukan dan penggunaan.

“Hak ke atas tanah ini saling berkaitan dengan adat dan budaya mereka, dan untuk melucutkan tanah mereka adalah untuk menghakis adat dan budaya mereka.”

Baru berkata eksploitasi terhadap anak negeri hanya akan berterusan memandangkan majoriti pemilik tanah anak negeri tidak menyedari hak mereka dan tidak mampu memperjuangkan diri sendiri.

RUU Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah telah diluluskan tanpa sebarang pindaan. – 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen